Sunday, March 24, 2013

Semakin lambat bubar, BN semakin tidak popular


1. Seketika dulu YAB Perdana Menteri dan BN mungkin beranggapan bahawa langkah melengah - lengahkan pembubaran kabinet adalah meletihkan pembangkang dan menguntungkan mereka. Saya juga berpandangan demikian pada awalnya. Setelah lebih 11 kali meramal tarikh bubar kabinet sejak tahun lepas, semuanya tidak menjadi.  Terasa bodoh pula diri, menunggu saban fajar bilakah detik kabinet atau parlimen dibubarkan. Pastinya pihak BN girang mempersenda PR yang termangu - mangu menanti tarikh bubar seperti pengantin menunggu detik imam tiba untuk aqad nikah.

2. Lebih menarik, PM sanggup melanjutkan tarikh pembubaran tanpa sebarang pengumuman atau penetapan tarikh melepasi period 5 tahun tempoh antara 2 pilihanraya iaitu 8 Mac 2008 hingga 23 Mac 2013 [sehingga kenyataan ini ditulis].

3. Negara kini dilanda demam bubar. Ia bukan lagi satu persendaan tetapi rakyat mendesak dan menuntut supaya PM berani membubarkan kabinet secepat mungkin untuk rakyat memperbaharui mandat kepimpinan dan pemerintahan negara. Jika anda rajin belayar di laut cyber, 1001 jenaka, tuntutan, xpresi, rayuan dan permohonan supaya kabinet dibubarkan dan PRU 13 dipanggil segera.

4. Selesema bubar ini bukan hanya membuatkan penyokong Pakatan Rakyat berair hidung tetapi penyokong Barisan Nasional juga mula bersin tidak menentu. Mereka pun naik hairan kenapa PM masih "keras kepala" tidak mahu membubarkan kabinet dan lebih penting tidak mahu mengisytiharkan tarikh pembubaran itu lebih awal.

5. Menurut pengamatan saya, semakin lama keadaan ini berlangsung, rakyat makin bosan dan muak dengan sikap PM. Tanda tanya terus bersarang dalam kepala mereka, kenapa PM masih tidak mahu membubarkan kabinet ? Apakah PM hilang keberanian ? atau PM tidak bersedia menghadapi kemungkinan ? Apakah UMNO masih lemah ? masih kronik kah pertelagahan dalaman BN ? Makin lama, makin banyak tanda tanya itu timbul dibenak rakyat.

6. Fenomena ini sebenarnya menguntungkan Pakatan Rakyat. Dimana rakyat seperti mula menghidu kelemahan besar yang sedang dilindungi oleh Barisan Nasional menyebabkan PM sehingga kini dilihat tidak bersedia mengisytiharkan tarikh pilihanraya meskipun terdapat beberapa buah negeri terpaksa bubar secara automatik kerana tamat tempoh.

7. Mahu saja saya mencadangkan agar PM juga tidak perlulah isytihar tarikh bubar sebaliknya biarlah ia bubar sendiri secara automatik menjelang 28 April nanti. Sementara itu PM boleh cipta sejarah. Malah ia sangat baik untuk Pakatan Rakyat terus menghimpit Barisan Nasional ketepian gelanggang dan rakyat akan terus meng"booo" mereka atas kegagalan membubarkan kabinet pada masa yang tepat dan sesuai.

8. Saya sendiri tidak tahu, kesempatan bagaimana lagi yang ditunggu oleh PM setelah pelbagai langkah popular telah diambil oleh beliau untuk memenangi dan membeli hati rakyat. Apa lagi yang lebih besar dari BR1M  yang menelan kos puluhan jutaan ringgit. Himpunan ulamak dan umarak telah selesai, Himpunan sejuta belia pun sudah. Terbaru himpunan wanita juga sudah diselesaikan. Buku Rosmah juga telah dilancar. Ilham apa lagi agaknya yang ditunggu oleh PM, melainkan rakyat semakin cuak dan give up menunggu dan menanti. Penantian itu satu penyeksaan.

9. Saya kira, rabu depan  bersamaan 27 Mac 2013, YAB  PM bolehlah memanggil mesyuarat terakhir kabinet seperti rutinnya dan sebelum itu, YAB  PM naik mengadap Yang Di Pertuan Agong untuk perkenan tarikh bubar kabinet. Sejurus selesai mesyuarat kabinet, PM boleh segera umumkan kepada rakyat pembubaran kabinet bagi membolehkan SPR menetapkan tarikh PRU ke 13. Saya kira, rakyat masih mampu bersabar menanti tarikh 27 Mac ini.

10. Jika 27 Mac 2013 ini, YAB PM masih tidak bersedia untuk bubarkan kabinet. Saya boleh gambarkan wajah - wajah rakyat negara ini yang semakin cuak dan muak dengan game UMNO dan BN. Wajah kusam yang tension dalam penantian. Mungkin penyokong BN sendiri akan boring dengan situasi seperti  itu. Sehari dua ni pun sudah ada gerakan kempen BP1M [Bubar Parlimen 1 Malaysia]. Andai ia masih berlarutan, kempen ini akan membesar dan saiznya akan mencetus gelombang baru yang menghakis kepercayaan rakyat terhadap BN dan PM sebagai kerajaan dan pemerintah yang tiada keyakinan diri. Justeru itu, kepada YAB Perdana menteri, dengarlah nasihat saya, bubarlah segera dan paling lewat 27 Mac ini. Jika tidak,  YAB PM  akan berdepan dengan situasi yang lebih sukar. Percayalah !

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

No comments:

Post a Comment