Pada Jun 2001 saya telah dibawa ke
Kamunting sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Di
Kamunting saya bertemu, bersuai kenal dan bercerita panjang dengan
tahanan-tahanan dari kumpulan Al-Maunah. Anggota Al-Maunah ini telah
ditahan lebih awal dari saya.
Biar saya ingatkan kembali kenapa
lebih dari 20 orang warga Al-Maunah ini telah ditahan di Kamunting.
Mereka ini ditahan kerana berlaku apa yang dikatakan rompakan bersenjata
Bukit Jenalik pada 2 Julai 2001. Sebanyak 5 tan senjata telah diangkut
masuk ke dalam 3 buah Pajero. Senjata ini dibawa ke Bukit Jenalik -
tempat perkhemahan kumpulan Al-Maunah - satu kumpulan silat.
Ketika
kejadian ini berlaku dunia masih ini belum melihat blog, twitter atau
facebook. Hanya ada laman Mahazalim dan Malaysiakini. Laman-laman ini,
terutama Laman Mahazalim telah ‘menembak' kisah dongeng ini sehinggakan
tidak ada sesiapa pun dalan negara akan percaya versi United Malays
National Organisation.
Lawak seram Al-Maunah ini menjadi bodoh
kerana senjata lima tan boleh dimasukkan ke dalam Pajero dalam masa 15
minit. Najib Razak yang ketika itu menteri pertahanan bersungguh cuba
membuktikan cerita kentut kerbaunya.
Maka sandiwara ‘rompakan'
ini diulang pementasan sekali lagi di kem askar di Kuala Lumpur untuk
disaksikan oleh media. Sandiwara kentut kerbau ini sebenarnya
dipentaskan kerana Orang Melayu pada ketika itu telah turun ke jalan
raya untuk menyingkirkan Mahathir keturunan Iskandar Kutty.
Rompakan
di Sauk ini bertujuan untuk menakut-nakutkan Orang Melayu agar jangan
berani turun berdemo. Hujahnya amat senang - jika Orang Melayu turun
berdemo maka akan berlaku kacau bilau. Ada kumpulan-kumpulan sulit yang
akan ambil kesempatan untuk menambah kacau. Justeru, kumpulan silat
Melayu bernama Al-Maunah dijadikan mangsa - dituduh hendak melawan Yang
di-Pertuan Agong.
Dari perbincangan saya dengan ahli Al-Maunah
dalam kem Kamunting semuanya menerima hakikat bahawa mereka telah
diperangkap untuk datang ke Sauk. Ada yang dipanggil kerana ada program
ceramah agama. Ada yang dipanggil kerana hendak buat latihan silat.
Ada
yang dipanggil untuk jumpa-jumpa. Tidak timbul hal rompakan senjata.
Tidak timbul agenda nak lawan Yang di-Pertuan Agong. Jelas Kes Al-Maunah
ini adalah sandiwara Mahathir keturunan Iskandar Kutty.
Al-Maunah
ini kes terbaru. Saya mahu membawa pembaca kepada ke Zaman Konfrantasi:
1963-1965. Mengikut buku tulisan Said Zahari bekas Ketua Pengarang
Utusan, Tunku telah memberitahu dia bagaimana pegawai tentera British
telah meminta soldadu Malaysia mengebom kapal HMS Eagel yang sedang
berlabuh di Selat Melaka. Tulisan Said ini telah disahkan oleh Yap Chin
Kwee Setiausaha Politik, Tunku Abdul Rahman.
Rancangan British
untuk meletupkan kapal perangnya sendiri bertujuan untuk menyalahkan
Indonesia dan Sukarno. Jika ini berlaku maka Malaysia boleh
mengistiharkan perang terhadap Indonesia. Dan kuasa imperialis
Anglo-Amerika akan masuk campur sama.
Dalam istilah politik kes
Bukit Jenalik dan HMS Eagel ini dipanggil ‘memasang bendera salah'.
Konsep ini bermula kerana lanun dalam laut sering menggunakan bendera
kapal orang lain ketika menjalankan rompakan. Dalam kes Bukit Jenalik
bendera itu adalah bendera Al-Maunah. Dengan satu perancangan licik
Orang Melayu dan rakyat Malaysia telah ditakut-takutkan dengan
kemungkinan berlakunya kacau bilau.
HMS Eagel gagal diletupkan
kerana Tunku menolak rancangan jahat ini. Tetapi dalam surah strategi
‘memasang bendera salah' ini dunia tidak akan melupakan kes Telok
Tonkin. Telok Tonkin menjadi contoh terbaik sebagai rujukan dan kajian
memasang bendera salah.
Pada 2 Ogos 1964 dunia telah gempar
dengan berita bagaimana kapal perang Amerika USS Maddox yang berlabuh di
Telok Tonkin telah diserang oleh tentera laut Vietnam Utara. Satu dunia
heboh. Warga Amerika bangun pagi terperanjat melihat induk berita
akhbar - Amerika diserang. Warga Amerika bingung memikirkan bagaimana
negera sekecil Vietnam Utara berani menyerang kuasa tentera terbesar
dalam dunia.
Dewan Senat dan Dewan Kongres telah mengadakan
sidang tergempar. Dengan sebulat suara elit politik Amerika telah
meluluskan: Gulf of Tonkin Resolution. Dengan lulusnya ketetapan ini
maka Amerika telah menghalalkan diri untuk memerangi Vietnam Utara. Hari
ini kajian fakta telah membuktikan bahawa TIDAK ada serangan ke atas
USS Maddox pada 2 Ogos 1964. Apa yang berlaku hanyalah satu sandiwara.
Kes
dan kejadian memasang bendera salah ini saya timbulkan kerana pada
ketika saya menulis ini, ada Satu Bendera Sedang Tercacak di Lahad Datu.
Bendera Lahad Datu ini pelik lagi memelikkan. Pertamanya, media
antarabangsa tidak diibenarkan untuk membuat laporan. Wartawan
Al-Jazeera telah ditangkap dan dihalau keluar. Rakyat Malaysia ibarat
cendawan - disimpan dalam gelap dan dibajai tahi lembu.
Mengikut
laporan awal bendera yang tercacak di Lahad Datu ini bersangkutan dengan
Yazid Sufaat yang baru kena tahan dibawah undang-undang ISA Baru. Apa
sangkut paut Yazid dengan Lahad Datu tidak jelas. Tetapi berita ini
hilang bagitu saja. Pada awalnya umum telah diberitahu ada 100 gerila
lengkap bersenjata telah mendarat di Lahad Datu. Tetapi tidak diketahui
pula dari busut jantan mana Sang Gerila ini datang. Tetiba, beberapa
hari kemudian laporan mula beralih.
Jumlah 100 kini menjadi 40
orang. Ke mana 60 orang lagi menikus walah hu alam bissawab. Media
Malaysia pada awalnya melapor bahawa gerila ini lengkap bersenjata.
Tetiba berita diubah. Sang Gerila hanya datang dengan penggali dan
cangkul.Setelah beberapa hari, muncul pula berita yang melaporkan Sang
Gerila ini ingin bertemu dengan seorang personaliti. Mengikut laporan -
sesudah bertemu dengan ‘personaliti ‘ ini Sang Gerila akan pulang. Siapa
personaliti yang ingin ditemui ini?
Apakah Sang Gerila ini
hendak berjumpa Ziana? Atau personaliti yang dimaksudkan ialah Psy
Gangnam Style? Sampai hari ini tidak diketahui siapa personaliti itu.
Terakhir
media memaparkan gambar Hishammuddin Hussein meneropong dari jauh untuk
melihat Bendera Lahad Datu yang sedang tercacak. Perangai meneropong
dari jauh telah menjadi tabiat menteri dalam negeri semenjak dia diberi
teropong untuk melihat cara polis membelasah penunjuk perasaan di Bersih
3 tahun lalu.
Apakah teropong ini hadiah hari jadi dari Ziana atau dari adik Ziana. Ini masih tidak jelas.
Apa
yang jelas ialah orang ramai semakin marah kerana rakyat Malaysia tidak
diberitahu apa yang sebenarnya berlaku. Mengikut laporan akhbar
Filipina - jumlah gerila ini bukan 40 orang, bukan 100 orang tetapi 400
orang. Gambar dari akhbar Filipina memperlihatkan bahawa gerila ini
dililit oleh peralatan senjata moden. Gerila ini datang untuk mengancam.
Maka timbul persoalan hakiki. Apa tujuan memasang bendera ini? Siapa di belakang bendera ini?
Untuk
memahami ini kita wajib mengambil kira PRU13 yang akan berlaku tidak
lama lagi. Kita wajib mengambil kira bagaimana Suruhanjaya DiRaja Sabah
tentang kad pengenalan palsu sedang bersidang di Kota Kinabalu. Kita
juga wajib menyedari bagaimana ‘kilang undi haram dari Sabah' kini telah
runtuh.
Kita juga wajib mengambil kira kepulangan
Balasubramaniam. Kita juga wajib ambil kira saman Deepak terhadap Najib.
Kita juga wajib ambil kira serangan Mahathir keturunan Iskandar Kutty
terhadap Najib. Kita juga wajib ambil kira bagaimana Muhyiddin sedang
merancang untuk menyahkan Najib dari kerusi PM.
Setelah mengambil
kira semua ini maka jika Bendera Tercacak di Lahad Datu ini berterusan
maka ianya pastilah baik untuk Najib. Bendera ini amat cemerlang untuk
United Malays National Organsiation. Pada tahap ini tidak penting untuk
kita mengetahui siapa yang memasang bendera ini. Yang penting bendera
ini telah terpasang. Dan orang yang merancang untuk memasang bendera ini
akan meraih keuntungan.
Bendera yang sedang terpasang di Lahad
Datu ini cukup molek untuk dijadikan sebab musabab oleh Najib untuk
menggantung pemilihan di Sabah. Memasang bendera saperti ini bukan
sesuatu yang baru. Salah bendera ini telah digunakan untuk menjatuhkan
PBS dan Pairin dalam tahun 1982.
Pada 1978 sejarah telah
membuktikan bagaimana United Malays National Organisation memasang
bendera salah di Kelantan. Kacau bin Bilau telah melompat-lompat berdemo
di Kota Bahru. Akhirnya Dewan Undangan Negeri Kelantan di gantung dan
Parti Pas tersingkir.
Bendera yang tercacak di Lahad Datu ini
telah hampir tiga minggu. Dalam laporan Bernama pada 24 Februari yang
lalu, Najib telah menerangkan bahawa dia menangguhkan PRU13 sehingga
rancangan ‘transformasi' memperlihatkan hasil. Apakah Najib ini bodoh?
Apakah
Najib sudah nyanyuk? Biji durian akan mengeluarkan hasil setelah lima
tahun ditanam. Padi boleh dituai setelah tiga bulan ditanam. Jagung yang
berbuah satelah empat bulan ditanam.
Mustahil ‘transformasi' ini
akan memperlihatkan hasil dalam masa dua bulan. Sesuatu dasar akan
dilihat ketrampilan dan kejayaan dalam masa 10 atau 15 tahun. Mungkin
lebih lama. Rancangan Felda yang dirancang oleh pada tahun 1956 hanya
berhasil 15 tahun kemudian.
Justeru soalan wajib ditanyakan:
Apakah salah pasang bendera di Lahad Datu bertujuan untuk menimbulkan
huru hara di Sabah? Dengan huru hara ini pilihan raya di Sabah di
tangguh. Jika pilihan raya Sabah ditangguhkan maka Najib dapat
menyelamatkan diri. United Malays National Organisation dan
kuncu-kuncunya dapat selamat dari gelombang ombak rakyat yang tidak
sabar-sabar untuk menghumbankan mereka semua ke dalam tong sampah
sejarah.
No comments:
Post a Comment