Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong
penuh kempen Earth Hour yang akan diadakan pada Sabtu, 23 Mac depan,
bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam di seluruh negara.
Kempen
selama sejam itu akan digerakkan ke seluruh dunia dengan penyertaan
sebanyak lebih 135 buah negara. Kempen ini bermula sejak tahun 2007 oleh
Tabung Alam Sedunia (WWF) dan ia berterusan setiap tahun sejak itu.
Kempen
ini bertujuan untuk menanam kesedaran masyarakat peri pentingnya
penjimatan elektrik sebagai suatu cara menyelamatkan bumi ini.
Menjimatkan
elektrik bererti menjimatkan tenaga dan sekali gus akan menyelamatkan
bumi ini. Masyarakat dunia khususnya di bandar kurang peka terhadap
penggunaan elektrik sehingga mereka menggunakannya 24 jam sehari tanpa
henti, yang dianggap sebagai suatu pembaziran tenaga.
Dengan kos
hidup yang tinggi, ditambah dengan pembaziran penggunaan elektrik yang
tidak berpatutan, kempen ini memupuk sikap supaya masyarakat pada
waktu-waktu tertentu perlu menghargai tenaga dengan mengurangkan
penggunaannya seminimum mungkin.
Adakalanya manusia menggunakan
tenaga elektrik secara berlebihan sehinggakan pada ruang dan tempat yang
tidak diperlukan penggunaannya juga masih digunakan dengan pelbagai
alasan.
Setidak-tidaknya selama sejam bergelap mengingatkan masyarakat supaya bersyukur dengan nikmat alam yang dikurniakan Allah SWT.
Bayangkan dalam masa sejam bergelap itu, berapa juta ringgit wang
pengguna dapat dijimatkan. Bandingkan pula dengan kos elektrik di rumah
perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang bernilai RM 1188.00
sejam (dibahagikan dengan RM 10, 267,868.15 untuk setahun menurut sumber
Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, menteri di Jabatan Perdana Menteri).
Ini
bererti sebanyak RM1,188.00 dalam masa sejam dapat dijimatkan dari
perbelanjaan elektrik rumah kedua-dua pemimpin tertinggi negara dan
masuk ke kantung kerajaan.
Hakikatnya, dunia ini terlalu
tercemar akibat pemanasan global yang boleh menyumbang kepada bencana
alam akibat ketidaktentuan pada iklim.
Para saintis berpendapat
suhu dunia menjadi semakin panas kerana pelepasan gas karbon dioksida
yang berlebihan yang menyebabkan ia memerangkap haba.
Biasanya
haba meresap dalam udara dan boleh dilepaskan ke atmosfera, tetapi
dengan adanya satu lapisan karbon dioksida berlebihan, ia memerangkap
haba.
Sekali gus ia memberi kesan buruk kepada keadaan bumi
seperti kecairan di Kutub Utara dan pergerakan ombak yang berubah yang
akan memberi kesan kepada hidupan dunia.
Diharapkan masyarakat
di seluruh negara terutama di bandar-bandar menyahut kempen ini dengan
membantu bersama-sama menghidupkannya.
No comments:
Post a Comment