Saturday, April 20, 2013

Mampukah penduduk Kg Baru memaafkan Umno?


 
 
PETALING JAYA: Kawasan Parlimen Titiwangsa diramalkan sebagai antara kerusi panas di Wilayah Persekutuan menjelang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selepas penamaan calon hari ini.
 
Titiwangsa (P119), asalnya merujuk kepada kawasan penempatan awal keturunan bangsawan Melayu merupakan kubut kuat Umno yang mengekalkan kemenangan secara tradisi setiap kali PRU.
Namun situasi berubah semasa tsunami politik 2008 apabila kerusi Titiwangsa ditawan PAS, menjadikan Parlimen Setiawangsa satu-satunya benteng terakhir pertahanan Barisan Nasional (BN) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Parlimen Titiwangsa kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dan Umno-BN, Datuk Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zamri dan Johari, dua muka baru dalam arena musim pilihan raya bakal berentap meraih sokongan 55,388 pengundi; 70 peratus daripadanya Melayu, Cina (20.82 peratus), India (9.07 peratus), serta lain-lain kaum (0.02 peratus).

Terbahagi kepada tiga zon utama (Kampung Baru, Kampung Pandan dan Datuk Keramat), Titiwangsa juga mempunyai bilangan pengundi pos berdaftar seramai 1,942 orang.

Ahmad Zamri, 38, anak jati Sentul, Kuala Lumpur merupakan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) yang lantang memperjuangkan isu pemansuhan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Peguam muda ini mula mengambil alih tugas sebagai Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Titiwangsa selepas kematian penyandang Allahyarham Dr Lo’ Lo’ Ghazali pada tahun 2011 kerana penyakit kanser.

Menjaga amanat terakhir Dr Lo’ Lo’ supaya mempertahankan nasib Kampung Baru, Ahmad Zamri turut meneruskan kerja turun padang bagi memastikan penduduk tidak merasa kehilangan wakil rakyat di situ.
Namun, isu Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 yang selama ini diperjuangkan Pakatan Rakyat sebelumnya kini mula menjadi perhatian BN.

Suara Pembangkang dalam Dewan Rakyat diketepikan apabila usul yang dibentangkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin itu mendapat undi majoriti BN, menyokong supaya kawasan itu dibangunkan tanpa mendapat persetujuan penduduk asal.

Umno buat pusingan ‘U’ 
 
Tetapi kini Umno sudah membuat pusingan ‘U’ malah memberi jaminan kerajaan BN sama sekali tidak akan mengusik tanah milik orang Melayu di situ. 
 
Malah BN melalui perang sepanduk yang dinaikkan sejak malam Khamis berikrar akan mempertahankannya dan tidak mengizinkan walau seinci pun tanah kampung Baru digadaikan kepada pemaju.
Johari, 49, dilaporkan Bernama berkata dirinya juga sedia berdebat dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan keikhlasan kerajaan BN membantu penduduk Kampung Baru.

Ketua Umno Bahagian Titiwangsa ini pernah mencetuskan kontroversi dengan kenyataan angkuh mengatakan BN tidak memerlukan undi Cina dan India jika 70 peratus undi Melayu menyebelahi mereka.
Video ucapannya itu tersebar meluas sehingga menimbulkan kemarahan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyifatkan kenyataan Johari sebagai ‘tidak berapa cerdik’
.
Ucapan anak jati kelahiran Kampung Pandan itu juga sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan kempen BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas pada tahun 2010.

Persoalannya, mampukah penduduk Kampung Baru melupakan tindakan BN yang begitu ghairah mahu Kampung Baru dibangunkan menjadi pusat komersial di segi tiga emas Kuala Lumpur dan dalam masa yang sama terus berjuang untuk mempertahankan tanah warisan bersama PAS?

No comments:

Post a Comment