Wednesday, April 17, 2013

Usah tukar pentadbiran Kelantan!

Zainal Abidin Nor
18 April 2013


PETALING JAYA: Pendapat atau lebih tepat lagi, pandangan dari sudut syariah dua tokoh ulama neutral dan bebas menarik perhatian  berhubung dengan usaha pentadbiran negeri Kelantan untuk Membangun Bersama Islam.

Mereka ialah Dr Zahazan Mohamed, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri  Zainal Abidin dan kini bertugas sebagai pensyarah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Dalam laman sosial (Facebook), Dr Zahazan berpandangan haram untuk menukar pentadbiran negeri Kelantan (khususnya ketika saat  kita menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13) di bawah kepimpinan ulama sekarang ini.

Jika terdapat kelemahan katanya, ia adalah kelemahan yang kecil dan mampu di atasi kerana mudarat menjatuhkan kerajaan yang  berusaha menegakkan Islam ini menjadi lebih bahaya.
Apatah lagi sekiranya kerajaan yang hendak dipilih atau dinaikkan itu merupakan sebuah kerajaan yang meneruskan dasar sekular dan  para pemimpinnya cenderung kepada kerja-kerja maksiat, rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara seorang lagi yang cuba dipikat oleh kedua-dua parti PAS dan Umno ialah Dr Asri.  Melalui blognya bertarikh 15 April lalu,  beliau memberi panduan dari sudut syariah kepada umat Islam agar terlibat dalam proses pemilihan pimpinan negeri dan negara.

Dosa dan pahala 

Menurut beliau, undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah (seperti mana solat, puasa dan ibadah yang lain)  berdasarkan kesan yang akan berlaku disebabkan undi yang diberikan.
Katanya, jika ia membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara dan itulah tujuan individu yang mengundi tersebut maka undi itu  mendapat pahala. Jika dia tahu undinya itu boleh memberikan kesan yang buruk tetapi ia terus mengundi juga maka dia mendapat dosa.

Sekiranya kita memerhatikan senario yang berlatarbelakangkan negara ini, kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memerintah hari ini  telah banyak melakukan kerosakan dan kejahatan hingga ia sukar dibendung lagi.
Dasar pemerintahan mereka banyak yang bertentangan dengan roh Islam dan malahan melakukan kerja-kerja yang bercanggah dengan  Islam termasuk menindas rakyat yang beragama Islam.
Dalam isu tuntutan royalti minyak dan gas rakyat Kelantan dinafikan hak mereka, tidak seperti di Sabah, Sarawak dan Terengganu yang  mendapat royalti minyak setiap tahun.

Kalau dinilai pentadbiran negeri Kelantan sejak ditadbir ulama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta saf kepimpinannya sejak lebih 20  tahun yang lalu, kita dapat merasai alam persekitarannya disemai dengan roh Islam.

Projek pembangunan di Kelantan walau agak perlahan, jika dibanding dengan pembangunan pesat di Lembah Klang atau Iskandar Malaysia, disuntik dengan asthetik dan nilai-nilai Islam.
Kepada para pengundi, khusus di negeri Kelantan atau kepada mereka yang pulang ke Kelantan untuk mengundi pada PRU13 5 Mei nanti,  mereka dinasihatkan supaya mengundi dengan bijak.

Mengundi dengan bijak bererti mengundi dengan mengambil kira dosa dan pahala serta balasan Allah di akhirat nanti, yang menjadi  matlamat akhir kita, sebagai tanda keimanan kita kepada Allah dan Rasul.

No comments:

Post a Comment