Wednesday, April 17, 2013

Khalid Ibrahim janji pembangunan infrastruktur, tangani kesesakan di Pelabuhan Klang

Md Izwan
17 April 2013


KLANG, 17 April — Dalam usaha menarik sokongan pengundi Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan akan membangunkan infrastruktur dan menangani masalah kesesakan kawasan tersebut jika dipilih selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.
Menteri besar sepenggal tersebut kini dalam usaha berkempen di kawasan tersebut selepas diumumkan calon Pelabuhan Klang dan tidak mempertahankan kawasan Ijok yang disandangnya sebelum ini.

"Pelabuhan Klang di antara 14 pelabuhan terbesar di dunia, tapi lihatlah keadaan sekitarnya?
"Adakah ia seperti pelabuhan yang besar lain?" kata Abdul Khalid (gambar) dalam satu program mengumpul dana anjuran DAP di Restoran Rashna, Klang malam ini.

Abdul Khalid berkata perkara pertama yang akan dilakukannya sebaik dipilih, beliau akan mencari khidmat perancang bandar bagi membuat pelan membaiki infrastruktur dan meningkat kemudahan sedia ada kepada rakyat Pelabuhan Klang.

"Perancang bandar ini akan meneliti infrastruktur yang perlu diperbaiki dan menambahbaik kawasan pelabuhan ini supaya menjadi salah sebuah kawasan yang moden dan selesa," katanya lagi.

Abdul Khalid juga berjanji kepada pengundi Pelabuhan Klang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas dikawasan tersebut, serta berkata kerajaan sementara Pakatan Rakyat (PR) di Selangor sudah pun mengambil langkah ke arah itu dengan pengumuman peruntukan bernilai RM300 juta bagi membina jambatan ketiga di kawasan tersebut yang menjadi laluan utama penduduk.

"Masalah kesesakan adalah isu utama di Pelabuhan Klang, saya sedia tahu.
"Satu lagi janji saya ialah menyelesaikan masalah kesesakan ini, malah kerajaan Selangor telah pun mengumumkan peruntukan sejumlah RM300 juta untuk membina jambatan ketiga di Pelabuhan Klang," tambah beliau.

Selain menjanjikan kepada penduduk kawasan yang bakal ditandinginya di Pelabuhan Klang, Abdul Khalid sekali lagi mengulangi pendirian untuk memberikan hak pegangan saham air kepada rakyat Selangor sekiranya mereka berjaya mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

"Jika berjaya ambil SYABAS, seperti saya katakan awal dulu... saya akan beri hak milik air ini kepada semua rakyat Selangor.

"Setiap rakyat Selangor akan mendapat 2000 pegangan saham dan akan menerima dividen," terang beliau lagi.

Dalam majlis anjuran penyandang kerusi parlimen Klang Charles Santiago malam ini, sebanyak 108 meja habis dijual dan sejumlah seribu hadirin hadir bagi memberikan sokongan kepadanya menjelang PRU13 tidak lama lagi.

Kebanyakkan yang hadir pada majlis malam ini terdiri masyarakat Cina dan India yang menetap sekitar Klang.

Pada pilihan raya umum 2008, Badrul Hisham Abdullah memenangi kerusi Pelabuhan Klang atas tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi, mengalahkan calon BN.

Beliau meninggalkan PKR pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong BN.
Beliau kemudian menyertai Umno pada Mei 2010.

Abdul Khalid dilantik menjadi Menteri Besar Selangor secara rasminya selepas mengangkat sumpah pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan,Shah Alam, Selangor.

Pada 8 Mac 2008, PR Selangor memenangi 36 kerusi dengan 15 kerusi dimenangi PKR, 13 DAP dan 8 dari PAS. BN pula memenangi 20 buah kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor.

No comments:

Post a Comment