Thursday, April 25, 2013

‘Tipu pilihanraya, kita turun jalanraya’




GEMAS: Aktivis reformasi, Hishamuddin Rais, memberi ingatan bahawa jika berlakunya unsur penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13  kali ini, rakyat tidak akan teragak-agak turun ke jalanraya menuntut keadilan.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah di Felda Pasir Besar yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas  kelmarin.

Gemas menjadi popular sejak tiga tahun lepas berikutan kontroversi Pusat Fidlot Negara atau lebih dikenali NFC terletak di sini.

Walaubagaimanapun jumlah orang ramai yang hadir pada malam itu tidak memberangsangkan.
FMT difahamkan oleh penganjur bahawa ramai pengundi sekitar di DUN Gemas telah pergi ke bandar Segamat untuk mendengar ceramah  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam yang sama.

Perjalanan dari Gemas ke Segamat hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja.
Hishamuddin memulakan ceramah dengan memberi penjelasan tentang usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada tahun lepas  di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, telah jalankan satu siasatan daftar pengundi, dengan membelanjakan RM5 juta.

“Selama enam bulan Kerajaan Selangor telah pergi rumah ke rumah memeriksa dan menyelidik dan telah menemui 134,000 mamat- mamat, minah-minah yang tidak ketahui jantan betinanya.
“Mamat-mamat, minah-minah ini diimport ke negeri Selangor bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Selangor (Pakatan Rakyat).

“Saya rasa di Negeri Sembilan ini permasalahan pengundi hantu ini tidaklah seberat yang sedang berlaku di Selangor.

Kes penipuan 

“Di Selangor, saya hendak beritahu satu lagi permasalahan, satu lagi kes penipuan yang dirancang oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Awal  bulan ini penyandang ahli parlimen Klang, Charles Santiago (DAP) telah membawa kes ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Charles membuat aduan bahawa telah kehilangan 5,000 nama pengundi (di parlimen Klang).
“Pada masa yang sama penyandang ADUN Kampung Medan, Haniza Talha membuat aduan bahawa 4,000 nama pengundi hilang (di DUN  Kampung Medan).

“Kes yang dibawa oleh Charles ke Mahkamah Tinggi Shah Slam, telah dibuang manakala kes 
 Kampung Medan belum didengar.

.
“Apa yang ingin saya katakan di sini ialah pada ketika ini terlalu ramai orang hilang nama. Entah ke mana perginya (nama pengundi), mungkin telah dibaham jin dan hantu,” jelas Hishamuddin dan ini membuat para hadirin ketawa besar.

Hishamuddin berkata itulah hakikat yang banyak berlaku di Selangor. Justeru beliau meminta orang ramai yang hadir menyemak nama (daftar pengundi) dari sekarang sebelum hari mengundi.
“Kes kehilangan nama ini berlaku begitu banyak sekali di seluruh negara. Pada 5 Mei ini akan ada kumpulan pemantau yang disusun Bersih dan NGO. Mereka akan jadi pemantau.

Muka-muka tidak dikenali 

“Adalah hak tuan-tuan, jikalau ternampak muka-muka yang tidak dikenali. Tuan-tuan berhak bertanya siapa mereka. Malah jika tuan mengesyaki mamat-mamat atau minah-minah Indon atau Bangla, pegang dia dan hantar kepada polis.

“Ini dipanggil ‘citizen arrest’. Ini adalah hak kita sebagai warganegara. Jangan takut, jangan segan. Ini negara kita, maka kitalah yang bertanggungjawab. Bukan Bangla, bukan Indon, bukan Myanmar,” tegas Hishamuddin.

Hishamuddin turut mengingatkan bahawa sebagai rakyat Malaysia perlu menjadi warganegara yang bertanggungjawab.

“(Kalau syak), ambillah tanggungjawab ini, beranikan hati, tanya dia: ‘kau dari mana? siapa nama? mak kau siapa? atuk kau siapa? kau cucu siapa ni?

“Ini penting kerana penipuan-penipuan ini dirancang.
“Perancangan penipuan ini dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya, dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara. Ini bukan tohmah daripada Hishamuddin Rais, ini bukan fitnah daripada Hishamuddin Rais.

“Ini adalah fakta hasil daripada siasatan (Suruhanjaya DiRaja) yang dijalankan di Sabah.,” kata Hishamuddin.

Ke mana kita akan pergi 

Hishamuddin berkata kali ini adalah pilihan raya yang akan menentukan garis ke mana rakyat akan pergi.

“Jikalau pilihan raya kali ini, dia melakukan penipuan; saya telah mencadangkan, jika berlaku lagi penipuan, maka tidak ada jalan lain melainkan turun ke jalanraya.
“Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 12 Januari (2013), 500,000 rakyat dari seluruh

Semenanjung telah berhimpun secara aman di Stadium Merdeka.

“Apakah maknanya? Apakah maknanya 500,000 orang yang berkumpul pada petang itu?
“Tujuan kita membuat HKR itu ialah untuk memberi amaran kepada Najib (Perdana Menteri), Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri), Mahathir (bekas Perdana Menteri) dan Rosmah (isteri Perdana Menteri); ‘jangan tipu pilihan raya.’

“Jangan tipu pilihan raya…jangan tipu pilihan raya… jangan tipu pilihan raya…
“Tipu pilihanraya, kita turun ke jalanraya,” berucap Hishamuddin bersemangat dan orang ramai menjerit menyatakan persetujuan ‘ya’.

Hishamuddin meneruskan ucapan dan berkata: “Justeru saya menyeru ibu-ibu, bapa-bapa, marilah kita sama-sama jatuhkan kerajaan ini.

“Kita tidak perlu lagi takut, kita tidak perlu lagi berselindung; memang niat akidah, cita-cita kita ialah untuk jatuhkan United Malay

National Organization. Tidak ada aak..eek..uuk, memang kita hendak jatuhkan kerajaan United Malay National Organization.

“Kita hendak gantikan kerajaan ini dengan sebuah kerajaan yang lebih adil dan demokratik yang akan menjalankan satu pilihan raya yang bersih dan adil.

Pada malam yang sama Hishamuddin turut berceramah di Felda Sungai Kelamah yang juga terletak di dalam DUN Gemas. Intipati ucapan ceramah beliau lebih kurang sama dengan ucapan di Felda Pasir Besar.

Lawak jenaka 

Walaubagaimanapun ada elemen lawak jenaka beliau yang menggamatkan seketika malam dingin tersebut.

“Berapa berat Rosmah (isteri Perdana Menteri) tidak penting, berapa gemuk Rosmah tidak penting, berapa besar seluar dalam Rosmah tidak penting; yang penting kita bersatu jatuhkan Umno,” kata Hishamuddin dan orang ramai yang hadir ketawa besar kerana tidak tahan dengan lawak jenaka Hishamuddin.

Sementara orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang mengerumuni Hishamuddin untuk membeli buku tulisannya yang terbaru ‘Tipu pilihanraya, turun jalanraya’ dan mendapatkan tandatangan (autograf) beliau.

DUN Gemas akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Abdul Razak Abdul Said (BN) dan Karip Mohd Salleh (PKR).

Komposisi pengundi DUN Gemas ialah Melayu 82.56 peratus, Cina 8.31 peratus, India 5.30 peratus dan lain-lain 3.83 peratus.

Jumlah pengundi DUN Gemas ialah 22,771 pengundi.

No comments:

Post a Comment