Akhirnya saat yang dinantikan telah tiba. Tanggal 3 April 2013 sudah tentu menjadi tarikh yang akan terus dikenang dalam lipatan sejarah. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan rasminya telah mengumumkan pembubaran Parlimen. Maka, pembubaran ini menandakan Pesta Demokrasi buat seluruh rakyat Malaysia. Rakyat sekali lagi berpeluang untuk turun beramai-ramai ke lapangan demokrasi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memilih dan menentukan kepimpinan negara yang dicintai ini.
Kita dikejutkan dengan Tsunami Politik pada PRU12. Iklim politik hari ini bakal menjanjikan sesuatu yang menarik dan berbeza bagi PRU13 kali ini bahkan mungkin lebih dahsyat daripada Tsunami Politik PRU12. Analisis berkenaan dengan keputusan PRU13 telah dibuat oleh beberapa pihak. Antaranya ialah berkenaan dengan penglibatan “first time voter”, 30% daripada jumlah pengundi keseluruhannya. Mereka ini dilihat sebagai penentu kepada kalah menang parti politik yang bertanding. Lebih menarik lagi, hampir kesemua golongan “first time voter” merupakan kumpulan anak muda termasuklah mahasiswa.
Mahasiswa sangat sinonim sebagai suara ketiga, “semak dan imbang” bagi pihak pemerintah. Kelantangan mahasiswa dalam menyatakan pandangan dan pendapat terhadap polisi-polisi kerajaan merupakan antara sebab diwujudkan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU). Lalu, apabila AUKU dipinda pada tahun lepas, terutamanya pindaan pada perkara 15 berkenaan penglibatan mahasiswa dalam politik, gerakan-gerakan mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan lagi Pesta Demokrasi Malaysia. Muncul gerakan seperti Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13), Kelab Penyokong BN IPTA, Siswa4U, Gelombang Anak Muda Tolak UMNO BN (Tolak).
Harapan saya buat seluruh mahasiswa, terutamanya yang sudah layak mengundi, laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. Selain itu, buktikan pada masyarakat Malaysia yang mahasiswa hari ini sangat ambil berat soal urus tadbir negara dan pembangunan rakyat dalam segenap aspek. Gunakan peluang yang ada untuk terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, hatta sebagai calon seandainya layak dan mampu. Penglibatan kita ini, sebenarnya merupakan pendedahan yang terbaik buat generasi anak muda untuk terjun ke lapangan demokrasi seterusnya membentuk negara impian anak muda.
Akhir sekali, impian saya untuk melihat universiti menjadi institut yang terbuka dalam memberi pendidikan politik kepada mahasiswa dan masyarakat umumnya. Bezakan antara doktrinisasi ideologi politik dan pendidikan politik. Pendidikan politik yang sebenarnya ialah pendidikan yang dapat memberi kesedaran buat mahasiswa akan pentingnya untuk terlibat secara langsung dalam urus tadbir negara. Mahasiswa harus berperanan dalam membentuk negara yang mereka idamkan, negara yang berintegriti, bebas daripada politik wang. Inilah peranan universiti yang sebenarnya, institut pendidikan yang berpegang teguh dengan prinsip keadilan dan kebenaran.
Ahmad Shukran bin Shaharudin
Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM)
No comments:
Post a Comment