Kajiselidik Pusat Kajian Demokrasi dan
Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim mendahului Datuk Seri Najib Razak sebagai calon perdana menteri
Malaysia yang baru.Tinjauan pada awal April itu, melibatkan 1,407
responden yang menetap di Semenanjung Malaysia menunjukkan sebanyak 43
peratus responden percaya Anwar layak menjadi perdana menteri manakala
24 peratus lagi berpendapat sebaliknya, dan selebihnya tidak pasti.
Untuk
Najib pula, 39 peratus responden berkenaan berpendapat beliau layak
menjadi perdana menteri manakala 31 lagi tidak bersetuju. Seramai 30
peratus lagi tidak pasti.
Apa yang menarik, seramai 54 peratus
responden Melayu berpendapat Anwar layak menjadi perdana menteri dan
hanya 28 peratus yang mahu Najib menjadi perdana menteri.
Di
kalangan pengundi kali pertama pula, 48 peratus responden percaya Anwar
layak menjadi perdana menteri manaka 25 peratus lagi berpendapat
demikian untuk Najib.
Berbanding dengan hasil kajiselidik Umcedel pada bulan Januari, rating Najib merosot empat mata manakala Anwar meningkat satu mata.
Dari segi responden Melayu, Kedudukan Najib merosot 18 mata manakala Kedudukan Anwar pula meningkat sembilan mata.
Najib dan Anwar dilihat bersaing rapat dalam bidang-bidang yang lain.
Najib mempunyai sedikit kelebihan dari segi pemimpin yang rapat dan mesra rakyat, berbanding dengan Anwar.
Lima puluh empat peratus responden percaya Najib lebih "mesra rakyat" berbanding dengan 46 peratus untuk Anwar.
Pengarah
Umcedel, Prof Datuk Mohd Redzuan Othman memberitahu satu sidang media
hari ini bahawa ini kerana Najib muncul di TV hampir setiap hari,
berbanding dengan Anwar yang hanya muncul apabila ada sesuatu yang tidak
baik mengenainya.
Najib juga dilihat sedikit lebih mampu dalam
pentadbiran berbanding dengan Anwar, manakala Anwar mempunyai kelebihan
sedikit dari segi ketelusan dan wawasan untuk memajukan negara.
Bagaimanapun,
Anwar mempunyai kelebihan yang jelas dari segi pemimpin yang memiliki
ciri-ciri kepimpinan Islam, dengan 43 peratus daripada responden
menyatakan beliau memiliki ciri-ciri tersebut, berbanding dengan 37
peratus untuk Najib.
Sementara itu, kajiselidik itu juga
mendapati 62 peratus responden berkata mereka tidak dipengaruhi oleh
video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang
beredar di Internet.
Tiga puluh sembilan peratus responden
berkata mereka yakin video seks itu sebagai "propaganda Umno" untuk
membuat serangan peribadi, manakala 39 peratus berkata mereka tidak
pasti.
Dua puluh dua peratus responden tidak bersetuju bahawa klip itu "propaganda Umno".
Redzuan
berkata, nampaknya kempen memburuk-burukkan Anwar (dalam media arus
perdana) tidak benar-benar memberi kesan buruk terhadapnya.
Sementara
itu, 63 peratus responden berkata mereka mahu melihat debat antara
Najib dan Anwar manakala 19 peratus tidak bersetuju dengan idea
tersebut.
No comments:
Post a Comment