Uthaya Sankar
15 April 2013
Pada
8 April 2013, sementara Niera Jp mengutuk Pakatan Rakyat (PR) dengan
kata-kata “Anuar [Anwar] cukuplah! Cukup! Jangan pakai lagi taktik zaman
Mahathir!”, jurucakap Human Rights Party (HRP), A Sugumaran (Cikgu
Suguz) tampil membuat pengakuan di Facebook bahawa “Ya kepada PR jika
mereka bawa Hindraf bersama”.
Niera Jp juga mendedahkan bahawa “PM Najib memberi ruang untuk
Hindraf berbincang” iaitu merujuk pada pertemuan antara P Waythamoorthy
dan Presiden Barisan Nasional (BN), Najib Razak. Untuk rekod, HRP
diketuai oleh P Uthayakumar. HRP pernah meminta kerusi untuk bertanding
pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) daripada PR. Maka, Hindraf dan HRP
adalah dua entiti yang berbeza; meminta “peluang” daripada dua parti
politik yang berbeza.
Niera Jp mempamerkan sikap oportunis sebenar apabila turut
menyatakan: “Kalau PR prihatin sangat dengan kaum India,
sekurang-kurangnya bincanglah dengan Uthayakumar ataupun Waythamoorthy.”
Dia sekali lagi merujuk pada peluang HRP dan Hindraf bertanding dalam
PRU-13 atas tiket PR dan BN.
Dalam pada merayu-rayu supaya HRP/Hindraf diberi peluang bertanding
oleh PR dan BN, Niera Jp tetap mengatakan bahawa “Tak ada bezalah kalau
PR ambil alih (Putrajaya) pun. Biar kami kaum India memberi pengajaran
kepada mereka yang sanggup menderhaka.”
BN dan PR dilabel sebagai penderhaka, tetapi kepada “penderhaka”
itulah juga Niera Jp, Hindraf dan HRP seolah-olah merayu-rayu dan
meminta-meminta diberi tiket untuk bertanding dalam PRU-13! Akhirnya,
nampak gayanya, kata-kata Mahathir Muhammad bahawa “syaitan yang
dikenali adalah lebih baik daripada malaikat yang tidak dikenali”
terbukti sesuai dalam kes Hindraf dan HRP.
Sugumaran sudah mengesahkan pendirian HRP menyokong PR “jika mereka
bawa Hindraf bersama” dan secara terang-terangan menolak BN/Umno. Niera
Jp pula bangga kerana “PM Najib memberi ruang untuk Hindraf”.
“Kami
bimbang PR tiada kewibawaan politik untuk tidak meneruskan dasar-dasar
UMNO yang rasis. Kita tidak mahu jadi mangsa dua kali. Kita hendak
berhati-hati terhadap politikus, lebih-lebih lagi menjelang pilihan
raya!” Demikian komen Sugumaran.
Maka, jelaslah bahawa HRP/Hindraf bimbang kemungkinan PR tidak dapat
menjaga kebajikan “kaum India miskin” jika PR menang dalam PRU-13. Sebab
itulah HRP mahu bertanding – sebagai calon bebas – merebut tiga kerusi
Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor yang
sebelum ini dikuasai PR menerusi PKR dan PAS.
Serah kaum India pada simpati Umno?
Sangat nyata bahawa – sama ada disedari atau tidak – HRP akan memecah
undi supaya BN boleh menang mudah di Selangor. Maka, “kaum India
miskin” yang dibela oleh HRP akan kembali bernaung di bawah BN dan
mengharapkan simpati “Umno yang rasis”. Benarlah kata-kata Mahathir!
Walaupun tarikh penamaan calon hanya pada 20 April 2013, pada 8 April
lagi jurucakap HRP sudah mengakui bahawa impian HRP/Hindraf adalah
untuk mendapatkan “kerusi”!
“Kami mahu bertanding kerusi di tempat-tempat majoriti pengundi kaum
India; khususnya di Selangor di mana satu per tiga jumlah penduduk kaum
India tinggal. Anda perlu faham bahawa kami melakukannya khusus untuk
memberi tekanan kepada PR supaya PR memberi laluan (kerusi) kepada
Hindraf,” kata Sugumaran menerusi komennya.
Komen tambahan yang secara terang-terangan membuktikan niat sebenar
HRP/Hindraf juga datang daripada jurucakap berkenaan: “Tidaklah
keterlaluan untuk memberi beberapa kerusi kepada Hindraf. Masih belum
terlewat untuk PR memberi laluan kepada Hindraf untuk menentang
Umno/BN.”
Menerusi
komen di Free Malaysia Today (FMT) pada 8 April 2013, Sugumaran
menegaskan pendirian HRP/Hindraf bahawa “Umno/BN dan PR ialah syaitan
yang dikenali! Hanya Umno/BN syaitan yang lebih senior!” Lalu, mengapa
pula masih sanggup merayu-rayu dan mendesak PR memberi peluang calon HRP
bertanding menggunakan tiket PR?
Bukankah tindakan itu seperti menjilat ludah sendiri? Mungkinkah ini
imej/maruah “kaum India miskin” yang mahu diberikan oleh HRP/Hindraf?
Maaf! Saya tidak mahu bersubahat dalam usaha menjatuhkan martabat,
maruah dan imej kaum India di Malaysia.
Satu lagi hakikat yang tidak dapat dipandang dengan sebelah mata atau
disapu di bawah karpet adalah mengenai “perpecahan” yang amat nyata
dalam kumpulan Hindraf itu sendiri. Misalnya, Waythamoorthy cuba meminta
peluang daripada Najib manakala Uthayakumar cuba (dan gagal) meminta
peluang daripada Anwar.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 9 April 2013 oleh bekas
ketua penerangan Hindraf, S Jayathas, pemimpin dan aktivis akar-umbi
Hindraf memberi tempoh 48 jam kepada Waythamoorthy untuk “meninggalkan”
(renounce) BN dan “bekerja ke arah menumbangkan BN dalam PRU-13”.
Memandangkan PR tidak bersetuju memberikan kerusi kepada HRP,
Sugumaran menyatakan pada 10 April 2013 bahawa “HRP perlu bertanding
sebagai calon bebas dan kacau daun!”
HRP hanya mahu kacau daun
Dua DUN di mana calon HRP mahu bertanding sebagai calon bebas –
kerana pendaftaran HRP sebagai parti politik belum diluluskan – adalah
Sri Andalas dan Sri Muda.
Jumlah pengundi berdaftar di Sri Andalas terdiri daripada sekitar
23,000 orang Melayu (41%), sekitar 13,800 pengundi Cina (25%) dan hampir
19,000 kaum India (34%).
Hasil culaan baru-baru ini di Sri Andalas (selepas HRP mengumumkan
akan bertanding) didapati bahawa sekitar 11,600 pengundi lelaki dan
sekitar 11,900 pengundi wanita memilih PR; sementara 4,700 lelaki dan
4,300 wanita memilih BN. Sekitar 11,000 pengundi lelaki dan 12,100
pengundi wanita pula belum membuat pilihan.
Di Sri Muda, terdapat sekitar 25,000 pengundi Melayu (52%), hampir
12,800 kaum Cina (26%) dan lebih kurang 10,500 orang India (22%).
Tinjauan
menunjukkan bahawa hampir 9,500 pengundi lelaki dan 8,800 pengundi
wanita condong kepada PR; manakala sekitar 6,600 lelaki dan 5,800 wanita
condong kepada BN. Lebih kurang 8,500 pengundi lelaki dan 8,500
pengundi wanita masih belum membuat pilihan.
HRP secara terang-terangan mahu berjuang bagi “kaum India miskin”
dengan hanya bergantung pada undi kaum India; khususnya penyokong
Perhimpunan Hindraf pada November 2007.
Kita ambil contoh DUN Sri Muda dan Sri Andalas. Katakanlah kesemua
10,500 pengundi kaum India di Sri Muda dan kesemua 19,000 pengundi kaum
India di Sri Andalas memangkah calon HRP yang bertanding sebagai calon
bebas.
HRP masih tidak ada peluang untuk menang. Apatah lagi untuk
merealisasikan impian dan cita-cita menghantar “calon Hindraf pertama ke
Parlimen” dengan Uthayakumar bertanding di Kota Raja.
Namun, semua itu tidak menjadi persoalan kerana seperti diakui di
ruang siber oleh jurucakapnya: “HRP perlu bertanding sebagai calon bebas
dan kacau daun!”
Demikianlah analisis saya sambil duduk di bilik yang tidak ada
pendingin hawa serta tiada akses internet yang laju; seperti dibayangkan
oleh Niera Jp. Analisis ini juga bukan untuk sesuap nasi; seperti
dikatakan Niera Jp. Sebaliknya sebagai kempen saya bagi menyedarkan para
pengundi agar tidak tersilap membuat pilihan apabila keluar mengundi
pada 5 Mei 2013.
No comments:
Post a Comment