Sunday, April 7, 2013

Pilihan raya dan harta awam

 
NONE


















Apabila kita membaca Sirah Nabi SAW kita merasa betapa kita umat Islam khususnya kepimpinan negara-negara umat Islam amat jauh dari mengambil teladan dari sirah baginda yang agung.

Sekalipun nama Nabi Muhammad SAW itu sering digunakan oleh pelbagai pihak termasuk golongan politik, namun realitinya kita lebih banyak menggunakan label dari mengambil isinya.

NONEMenjelang pilihan raya, tentu pelbagai pihak akan menyebut nama Nabi SAW seakan merekalah yang paling dekat dengan ajaran baginda.

Ada yang mengaku keturunan Nabi SAW untuk menebalkan poket dan mendekatkan diri kepada penguasa.  Ada yang mengakui kononnya ‘salafi' bermanhaj salaf konon padahal merekalah yang menyimpang dari maqasid agama yang dibawa oleh Nabi SAW.

Ada yang membangkitkan soal perkauman, lalu menyatakan perjuangannya diajar oleh Nabi SAW.  Golongan politik pula akan menggunakan sesiapa sahaja dan apa sahaja yang boleh menguntungkan kehendak politik mereka.

Jika nama Nabi SAW boleh dijual, mereka mungkin akan menjualnya untuk mendapatkan untung politik.

Tidak pelik

Kita jangan hairan jika orang politik mempunyai pelbagai watak terutama musim pilihan raya ini. Kita mungkin melihat mereka bagaikan wali yang suci dengan penuh tawaduk bersujud di depan khalayak ramai dan media.

Kemudian kita juga mungkin mendapati mereka penuh kerakusan kuasa, meratah harta awam, membohongi rakyat jelata, berjanji dusta dan menipu semahunya.

Kesemuanya mungkin bagi yang menjadikan kuasa matlamat kehidupan mereka.

Tidak kira apa jenama parti sekalipun, jika penyakit gila kuasa bersarang dan menguasai salur darah dan nafas seseorang, dia ketagih kuasa dan mungkin melakukan apa sahaja.

Hudaibiyah

Saya amat kagum dengan kejujuran Nabi SAW dalam melaksanakan janji yang dimeterai dan tidak pernah khianat kepada persetujuan yang dibuat. Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat pada tahun keenam hijrah antara bukti yang mengagumkan.

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pcRamai juga sahabat tidak bersetuju dengan isi perjanjian tersebut yang dimeterai antara Nabi SAW dengan kaum Quraish Mekah yang terkenal sejak dari hari awal terus menerus memerangi Islam. Suhail bin ‘Amr mewakili pihak Quraish bagi memeterai perjanjian tersebut.

Antara isi perjanjian yang dipersetujui yang ialah sesiapa dalam kalangan Quraish yang pergi kepada pihak Muhammad (kaum muslimin di Madinah) tanpa keizinan keluarganya hendaklah dipulangkan kepada pihak Quraish.

Sesiapa dalam kalangan mereka yang bersama Muhammad yang pergi kepada pihak Quraish, tidak dipulangkan kepada pihak Muhammad'. (Isi perjanjian ini disebut dalam pelbagai riwayat dari al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dll).

Nabi SAW telah bersetuju dengan kandungan perjanjian ini. Ditakdirkan semasa perjanjian dimeterai, anak Suhail bin ‘Amr sendiri yang dipanggil Abu Jandal yang menganut Islam datang kepada Nabi SAW dalam keadaan dirantai kerana diseksa oleh bapanya.

Dia berjaya melarikan diri dari kepungan lalu datang mendapatkan Nabi SAW dan kaum Muslimin.

NONEKata Suhail kepada Nabi SAW: "Wahai Muhammad! Ini perkara pertama yang aku tuntut engkau laksanakan bagi perjanjian ini, engkau hendaklah kembalikan dia kepadaku."

Nabi SAW cuba memujuk Suhail dengan pelbagai cara agar mengecualikan kes Abu Jandal ini.

Namun Suhail tetap berkeras dengan isi perjanjian tersebut. Para sahabat begitu sedih melihat Abu Jandal yang menganut Islam tetapi diseksa dengan begitu dahsyat oleh bapanya. Dia dirantai dan dipukul.

Baginda Nabi SAW terpaksa mengembalikan Abu Jandal kepada bapanya disebabkan perjanjian tersebut.

Abu Jandal menjerit dengan suara yang kuat menyebut: "Wahai kaum Muslimin! Tergamak kamu mengembalikan daku kepada puak syirik yang akan menyeksa daku kerana agamaku?"

Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Jandal: "Wahai Abu Jandal! Bersabar dan haraplah pahala. Sesungguhnya Allah akan menjadikan untuk engkau dan mereka yang tertindas bersamamu jalan keluar. Kita telah mengikat perjanjian dengan kaum Quraish. Kita terpaksa patuh dan mereka juga kena patuh. Kita sama sekali tidak mengkhianati mereka." (Riwayat Ahmad dan sebahagiannya dari al-Bukhari dan Ibn Ishaq).

Janji ditepati

Demikianlah setianya Nabi SAW kepada perjanjian. Walaupun para sahabat ramai yang tidak bersetuju dan mencadangkan peperangan, namun bukanlah seorang nabi jika baginda mengkhianati perjanjian.

Memang, jika kaum Muslimin memilih perang kemungkinan besar mereka boleh menang, buktinya dua tahun kemudian disebabkan Quraish sendiri yang melanggar perjanjian, Nabi SAW pun menawan Mekah pada tahun kelapan hijrah.

NONENamun Nabi SAW tidak memilih perang atas strategi politik baginda yang kemudiannya terbukti amat berkesan.

Jika perjanjian dengan musuh Islam dipatuhi oleh Nabi SAW tanpa khianat, apatah lagi jika kita berjanji sesama Muslim ataupun antara pemerintah dan rakyat.

Setiap pihak, terutama yang mengaku Muslim, yang sering menggunakan nama Nabi Muhammad SAW lebih wajar untuk mematuhi persetujuan yang disepakati.

Setiap parti dalam negara ini sudah ada kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri. BN dan Pakatan juga sama.

Pada musim pilihan raya, mereka tidak boleh menggunakan harta negara ataupun negeri yang menjadi milik semua untuk kepentingan parti mereka.

Kereta kerajaan, harta kerajaan dan kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan secara khusus untuk kempen kepentingan diri ataupun parti.

Khianat

Mereka tidak boleh datang berkempen diri ataupun parti menggunakan kereta ataupun apa sahaja harta awam. Bukan semua sokong BN ataupun Pakatan. Jika yang pro-BN reda, yang pro-Pakatan mungkin tidak reda.

Jika yang pro-Pakatan reda, yang pro-BN mungkin tidak reda. Jika kedua pihak reda meredai dalam membelasah harta awam, mungkin mereka yang tidak pro BN atau Pakatan tidak reda. Maka, mereka jangan khianat amanah yang diberikan di tangan mereka.

bagan pinang by-election nomination 031009 pakatan and bn supporterDemikian juga media awam yang dibayar oleh harta kerajaan, hendaklah bebas dari kepentingan mana-mana parti politik.

Sekian lama sejak merdeka, pihak penguasa sering ‘merembat' habis-habisan media-media awam ini, termasuk TV Hijrah yang kelihatan ‘agama' yang turut digunakan untuk kempen. Padahal ia dibiayai oleh harta awam yang menjadi milik bersama.

Dalam negara demokrasi yang berjanji satu proses pilihan raya yang adil, janji wajib itu dilaksanakan. Saya akur, telah berlaku usaha pembaikian pengurusan pilihanraya kita untuk membolehkan ia lebih adil. Kita hargai. Namun masih ada ruang yang patut dibaiki.

Saya tidak fanatik mana-mana parti. Bukan juga penjilat mana-mana pemimpin kerajaan ataupun pembangkang. Saya juga tidak beriman dengan kejujuran mana-mana parti yang sedia ada itu.

Namun setiap rakyat memerlukan maklumat yang saksama untuk dia membuat pilihan. Media awam patutnya memainkan peranan tersebut.

Jika ada media yang dimiliki oleh pihak-pihak tertentu, pihak lain juga patut diberikan lesen memiliki media mereka untuk membolehkan mereka menyiarkan pandangan mereka. Mana-mana pihak yang sanggup membentuk kerajaan yang memberikan hak tersebut, wajar disokong.

Akhirnya, setelah ruang mengenali setiap pihak dibuka secara adil, bermula dari mereka di universiti sehingga atuk dan tok wan di kampung dapat berfikir semampunya apa yang menjadi hasrat mereka sebagai rakyat, mereka pun mengundi.  Undian itu mempunyai harga dan maruah diri rakyat.

Percayalah, jika ruang sepenuh dibuka pun, tidak semestinya mereka akan menukar kerajaan ataupun memilih pembangkang. Jika mereka menukar pun, itu hak mereka yang diberikan oleh sebuah negara yang adil.

No comments:

Post a Comment