Wednesday, June 19, 2013

Dasar ekonomi negara gagal sentuh kelangsungan rakyat – Anwar

Masdar Wahid
Anwar

PETALING JAYA 19 JUN: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, penubuhan jawatankuasa mengurangkan defisit negara yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan gagal berikutan banyak langkah utama yang diputuskan penuh ‘kerahsiaan’.

“Saya mengambil pendirian berhati-hati terhadap pengumuman Najib dalam usaha membentuk sebuah jawatankuasa yang akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan defisit belanjawan negara kepada tiga peratus pada 2015.

“Ini kerana soal kerangka ekonomi tidak selesai tanpa kenyataan, peraturan dan langkah kebijakan lebih tepat bagi menjamin kelangsungan dan kemampanan pertumbuhan ekonomi untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat tidak disentuh.

“(Kenyataan itu) dipersulitkan kerana beberapa langkah utama yang diputuskan Najib masih dalam peringkat penuh kerahsiaan,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Tambahnya, polisi ekonomi negara oleh kerajaan BN itu tidak wajar melibatkan rakyat.

“Kerajaan BN tidak perlu mengheret rakyat untuk menampung ketidakcekapan ekonomi yang diurus mereka,” kata Anwar.

Najib mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar Fiskal semalam kononnya untuk pengurusan hutang negara yang lebih baik. Ia dipengerusikan beliau sendiri yang juga Menteri Kewangan.

Jawatankuasa itu akan turut disertai barisan Menteri Kabinet serta ketua-ketua jabatan di setiap Kementerian.

Dalam isu berkaitan, Anwar berkata, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak boleh dilaksana selagi pendapatan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah tidak meningkat.

“Pakatan Rakyat mengulangi pendirian bahawa GST hanya munasabah jika kedudukan pendapatan rakyat meningkat.

“(Walaupun) ia harus dilaksanakan secara berperingkat, tidak boleh dilakukan bila mana kita menyaksikan pertumbuhan pendapatan golongan berpendapatan rendah masih ditahap 2.6 peratus (seperti) dicapai antara tahun 2000 hingga 2010,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar bimbang terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dirahsiakan kepada umum dan menerima desakan bertubi-tubi rakyat, Pakatan dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Dasar Kabinet Najib dalam soal TPPA yang akan menyentuh kerangka, kedudukan dan kebijakan ekonomi tidak diketahui rakyat terbanyak termasuk pakar ekonomi, parti politik dan NGO berkaitan,” katanya.

Turut hadir sidang media, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

No comments:

Post a Comment