Tuesday, June 18, 2013

Konflik berdarah Syria perlu dihentikan segera




KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak agar pemerintah Syria segera menghentikan sebarang bentuk kekerasan ke atas rakyatnya dan kembali ke meja rundingan untuk mengembalikan keamanan.

Demikian gesaan ketuanya, Nasrudin Hassan dalam surat terbuka untuk Syria, Iran dan OIC berhubung konflik yang berlaku di Syria itu.

“Kami menyokong penuh pandangan yang pernah dibuat oleh YB Tuan Guru Presiden yang dimuatkan di dalam nukilan beliau ‘Syria di Persimpangan’ yang tegas mahukan semua pihak yang bertelingkah untuk mengenali kawan dan lawan sebenar dan membuka semula ruang dialog bagi menutup peluang campur tangan asing  yang kelak lebih merugikan Islam dan umatnya,” ujarnya.

Beliau berkata, pentadbiran baru Iran di bawah Syeikh Dr. Hassan Rouhani mempunyai peluang untuk mengemukakan penyelesaian baru di dalam konflik ini dengan menghentikan bantuan ketenteraan kepada Syria dan mendesak Hizbollah Lubnan untuk menghentikan campur tangan.


Pada masa yang sama, kata beliau Iran seharusnya menawarkan kepimpinan politik bersama keanggotaan lain di dalam OIC (termasuklah Malaysia) untuk mencari konsensus baru dengan komitmen untuk mengembalikan kedamaian di bumi Syam dan mengekang campur tangan Barat.


Beliau menambah, ianya boleh dimulakan melalui cabang OIC iaitu Majma' Fiqh yang mengumpulkan ulama-ulama muktabar bagi mendapatkan kesepakatan ijtihad sebagai sandaran dan dorongan ke arah penyelesaian politik yang lebih jitu di Syria.


“Yang lebih penting, ianya akan menjadi mesej yang jelas kepada seluruh Umat Islam khususnya pihak yang berseteru di Syria bahawa konflik yang berlaku memerlukan penyelesaian politik untuk menghentikan konflik berdarah ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

No comments:

Post a Comment