Saturday, June 15, 2013

Selangor prihatin, skim bapa bersama keluarga


KUALA LUMPUR: Jika peranan bapa itu dihayati dalam pentadbiran sesebuah negara dan negeri ia akan juga memudahkan bapa untuk melaksanakan fungsinya dengan baik.

Demikian perutusan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail (gambar) sempena Hari Bapa Sedunia.

Ini, katanya kerana kerajaan yang prihatin akan menyediakan dan menawarkan skim-skim yang memungkinkan bapa-bapa meluangkan masa mereka secara efektif bersama keluarga; seperti pemberian cuti 14 hari oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada suami-suami yang isteri mereka bersalin.

“Skim tersebut akan nanti diusahakan untuk dilanjutkan kepada pihak swasta di negeri Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Untuk kesekian kalinya menyambut hari ini, Hari Bapa Sedunia. Semoga Allah sentiasa merahmati para bapa di dunia ini.

Mengimbas kembali permulaan manusia ialah bapa yang pertama, iaitu Nabi Adam a.s., manusia pertama bersama isteri baginda, Hawa sehingga kini telah wujud bilangan berbilion manusia pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Kedudukan insan, tanpa mengira bangsa, agama dan budaya, yang bernama bapa dalam kehidupan manusia amatlah penting.

Hubungan bapa dengan anak-anak dan isterinya serta kaum-kerabat dan manusia sekeliling memberi kesan kepada pembinaan peribadi dan sahsiah yang mencontohi mereka, sama ada secara sedar ataupun tidak - yang didorong oleh keadaan tinggal bersama, bentuk-bentuk hubungan yang dibina dan sejauh mana perkongsian dengan bapa dalam berbagai aspek kehidupan bersama itu.

Kemesraan bapa menjadi idaman setiap anak dan bagi mereka yang menyaksikan kemesraan itu, khususnya para isteri dan ibu.

Kemajuan apapun, dan di peringkat manapun, landasan kemajuan yang hakiki perlulah disandarkan pada institusi keluarga yang kukuh. Dan bapa memainkan peranan yang kritikal dalam pembinaan keluarga yang utuh.

Bapa merupakan pembimbing, mentor dan role model. Beliau adalah juga contoh dan simbol kejayaan-kejayaan yang membuatkan kita semua juga ingin menuju ke arah mencapai kejayaan dalam kehidupan ini.

Dalam satu dapatan mengenai satu komuniti di dunia ini, 50% dari keseluruhan anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang tiada berbapa: anak-anak itu adalah berisiko lima kali ganda hidup dalam kemiskinan dan terlibat dalam kegiatan jenayah; sembilan kali ganda tercicir dari persekolahan, dan duapuluh kali ganda berisiko dipenjarakan kerana perbuatan jenayah.

Anak-anak tanpa bapa sering mempunyai masalah perilaku, lari dari rumah atau menjadi ibubapa remaja.

Kesemua gejala itu boleh menjejaskan keutuhan institusi keluarga yang menjadi asas keutuhan dan kesejahteraaan sesebuah masyarakat dan negara.

Bapa-bapa contoh adalah mereka yang berusaha menanam dan menyuburkan nilai empati pada anggota-anggota keluarganya, menyemarakkan emosi dan sifat positif dengan sentiasa menghalakan pemikiran kepada kepentingan selain dari untuk diri sendiri dan mewariskan etika kecemerlangan serta mendidik melalui tauladan lebih dari kata-kata.

Terima kasih bapa kerana telah mendidik kita prinsip-prinsip kejujuran untuk sentiasa bertutur yang benar dan memenuhi janji yang diungkapkan serta tidak mengambil hak orang lain.

Jika peranan bapa itu dihayati dalam pentadbiran sesebuah negara dan negeri ia akan juga memudahkan bapa untuk melaksanakan fungsinya dengan baik kerana kerajaan yang prihatin akan menyediakan dan menawarkan skim-skim yang memungkinkan bapa-bapa meluangkan masa mereka secara efektif bersama keluarga; seperti pemberian cuti 14 hari oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada bapa-bapa  yang isteri mereka bersalin.

Skim tersebut akan nanti diusahakan untuk dilanjutkan kepada pihak swasta di negeri Selangor.

Bapa, sama ada yang hidup ataupun tiada lagi di dunia ini adalah  insan yang disayangi dan dicontohi, semuga dirahmati Allah swt selalu.

Selamat menyambut Hari Bapa Sedunia 2013.

No comments:

Post a Comment