Wednesday, June 12, 2013

Najib tidak akur kehendak rakyat – Anwar

Nazar Hashim
SONY DSC

SUNGAI PETANI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akur kehendak rakyat yang menyatakan penolakan terhadap beliau pada pilihan raya umum lalu, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Berucap di Himpunan Black 505 peringkat negeri Kedah semalam, Anwar berkata, Najib juga enggan mendengar desakan rakyat yang berhimpun bagi membantah keputusan PRU dan penipuan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Beliau bukan saja tidak akur dengan kehendak rakyat yang sanggup turun ke himpunan demi himpunan bagi membuktikan penolakan mereka terhadap beliau sebagai Perdana Menteri, tetapi memandang rendah kehendak majoriti rakyat,” kata Anwar  depan lebih 5,000 hadirin di Padang Awam Puteri Jaya, Sungai Petani.

Jelas Anwar, Umno BN semakin sombong dan tidak mempunyai rasa malu memegang tampuk kekuasaan negara meskipun menang pilihan raya dengan cara kotor.

“Tiada gunanya persiapan PRU ke 14 selagi konflik, kecelaruan dan pembohongan PRU 13 masih lagi belum selesai. Tanpa penyelesaian PRU 13, maka tidak akan ada perubahan dalam PRU ke 14,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat supaya turun beramai-ramai di Himpunan Black 505 pada 22 Jun ini di Kuala Lumpur bagi menyatakan bantahan terhadap SPR.

SONY DSC

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, Najib bukan perdana menteri bagi majoriti rakyat Malaysia, berdasarkan 51 peratus undi popular yang berpihak pada Pakatan Rakyat.

“Namun, dengan pelbagai pembohongan yang dilakukan bagi mengekalkan kuasa, akhirnya undi majoriti yang diperolehi PR dinafikan. Situasi ini tidak boleh dibiarkan lagi sekiranya rakyat mahu perubahan berlaku dalam negara,” katanya.

Hadir sama dalam himpunan itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Penyelaras Solidariti Anak  Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah.

No comments:

Post a Comment