Sehingga jam 3 pagi ini, pasukan penyelamat
belum dapat mengesan mayat Lim Chin Aik, yang dipercayai terperangkap di
bawah lubang sedalam lima meter akibat dihempap penebat kilat yang
jatuh dari atas bangunan ibupejabat Umno Pulau Pinang di Jalan
Macalister Khamis lalu.
Pasukan itu berharap dapat menemui mayat mangsa, selepas
bahagian-bahagian kereta, yang disahkan sebagai kereta Honda City milik
Chin Aik - nombor casis, tayar, enjin dan bumper - ditemui di dalam
lubang tersebut yang dipenuhi lumpur dan air dari paip kumbahan bawah
tanah yang pecah.
Anggota bomba dan penyelamat, petugas
Perbadanan Air Pulau Pinang (PBA) dan Indah Water Konsortium turut
dipanggil untuk membantu membersihkan sisa dan menggali mayat lelaki
berusia 44 tahun itu.
Dua kren digunakan untuk menggali lebih
dalam dan pada masa yang sama, - air kumbahan terus membanjiri lubang
lima meter, dan melambat kerja-kerja tersebut.
Sejak
pukul 6 petang semalam, keluarga Chin Aik - isterinya, Lee Chai Song,
dan ibu bapanya - menunggu di tempat tersebut dengan harapan mayat
mangsa akan ditemui.
Pada jam 10.30 malam, Ketua Menteri Lim Guan Eng datang ke
situ dan bertemu dengan keluarga Chin Aik untuk memujuk mereka supaya
pulang dahulu dan menyerahkan tugas mencari mayat Chin Aik kepada
anggota pasukan penyelamat.
Lim berkata keluarga tersebut bimbang
sekiranya mereka meninggalkan kawasan itu, kerja-kerja mengesan mayat
Chin Aik akan dihentikan dan mayatnya tidak ditemui.
"Kita semua keletihan selepas sehari suntuk. Kami rasa mungkin Chin Aik tidak tertimbus dalam lubang tersebut, tetapi kita
memberi mereka jaminan bahawa kita akan terus mencari mayatnya," kata
Lim kepada pemberita selepas bercakap dengan saudara mara Chin Aik.
"Saya
menasihatkan mereka supaya pulang ke rumah dan berehat. Saya telah
mengarahkan pasukan penyelamat supaya meneruskan kerja untuk menggali
sebahagian daripada struktur (dari penebat kilat) yang jatuh ke dalam
lubang tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment