Monday, June 10, 2013

Jangan biar BN bertapak lagi di Selangor

Zainal Abidin Nor


PETALING JAYA: “Jangan biar Barisan Nasional (BN) bertapak lagi di negeri Selangor,” tegas Pengerusi Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) Hu Pang Chow.

Beliau berkata, BN sudah dua penggal ditolak oleh rakyat negeri ini, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 2008 dan PRU-13 lalu, dan tugas kita sekarang ini ialah untuk memastikan BN tidak boleh lagi bertapak di negeri Selangor.

“Malahan Pakatan Rakyat sekarang ini lebih kuat kerana kita memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berbanding BN,” terang beliau selepas ditemui dalam satu majlis Pakatan Rakyat di KIP Industrial Park dekat sini baru-baru ini.

Pada PRU-13, DAP dan PAS masing-masing memenangi 15 kerusi, dan PKR menang 14 kerusi berbanding dengan BN yang hanya memenangi 12 kerusi dari sejumlah 56 kerusi Dun Selangor.

Hu berkata, BN sudah tersilap percaturan dengan cita-citanya untuk menawan kembali negeri Selangor dengan memberi tumpuan khusus seperti penambahan hampir setengah juta pengundi di negeri ini sahaja menjelang PRU-13.

Katanya, BN Selangor juga melantik (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dalam usaha mereka untuk merampas semula negeri Selangor.

“Ternyata rakyat Selangor, yang terdiri dari semua kaum menolak BN dan mahukan perubahan dan memilih 

kerajaan negeri Pakatan  yang terbukti dapat memerintah jauh lebih baik berbanding BN,” jelas beliau.

Hu juga menolak teori ‘tsunami Cina’ yang ditimbulkan oleh Najib walaupun menurut beliau, lebih 80 peratus pengundi Cina di kawasan bandar dan pinggir bandar di Selangor memilih Pakatan.


Beliau menasihatkan kerajaan negeri supaya memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan menunaikan semua janji yang terkandung dalam manifesto bagi membuktikan kerajaan negeri benar-benar berjiwa rakyat.

No comments:

Post a Comment