Thursday, June 13, 2013

Siapa bakal jadi hero Parlimen?

Muda Mohd Noor


PETALING JAYA: Sidang dewan rakyat 24 Jun ini mungkin tidak sama lagi seperti sidang sebelum pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Beberapa ahli parlimen yang menghangatkan dewan sudah tidak menjadi wakil rakyat, antaranya Datuk Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Noordin dan Datuk Mohd Zahrain Hashim semuanya dari kumpulan Bebas.

Di kalangan Barisan Nasional tidak akan kedengaran lagi suara ‘sopan’ Datuk Sri Rais Yatim (Jelebu), Datuk Shaziman Mansor (Tampin) dan Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar).

Ibrahim kalah di Pasir Mas, Zulkifli di Shah Alam, manakala Zahrain, Rais, Shaziman dan Rafidah tidak bertanding dalam pilihan raya umum ke 13 itu.

Di kalangan mereka,  Ibrahim paling lantang kerana beliau menyerang lawan dan kawan, tegas mempertahankan isu-isu orang Melayu dan agama Islam.

Beliau pernah ‘menyerang’ Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong sehingga mengatakan ahli Perkasa tidak akan mengundi MCA 5 Mei lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut menjadi sasaran Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Him.

Namun kehadiran ahli parlimen baru khususnya dari Pakatan Rakyat akan mengambil tugas ibrahim untuk menggegarkan dewan.


Tumpuan kepada Rafizi, Nik Abduh


Tumpuan pasti terarah kepada ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR yang sebelum ini banyak mendedahkan kepincangan Barisan Nasional termasuk dalam isu Pusat Fidlot negara yang membabitkan bekas menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

NIk Abduh Nik Aziz, ahli parlimen Pasir Mas dari PAS barangkali juga ditunggu terutama di kalangan anak-anak muda.

Mungkinkah beliau akan mencontohi kewibawaan ayahnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan?

Kita juga ingin melihat sama ada wakil rakyat Pakatan Rakyat akan memboikot sidang dewan itu sebagaimana yang diwar-warkan?

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka kekal sebagai ketua pembangkang untuk sepenggal lagi.


Bagaimanapun, tugas berat menanti beberapa ahli parlimen yang dinaikkan pangkat, antaranya Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dilantik menjadi Menteri Kesejahteraan Bandar.

Begitu juga dengan Fadillah Yusof yang kini menjadi Menteri Kerja Raya serta Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini menteri menjaga hal ehwal parlimen.

Namun dengan deman pilihan raya yang belum reda, sidang parlimen tetap panas, isu penipuan dan pengundi hantu dijangka bakal menghangatkan sidang dewan.

Selamat datang kepada dua wakil rakyat muda PKR iaitu Rafizi dan Shamsul Iskandar Akin, Nashrudin Hassan (Temerloh – PAS), Datuk Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas – Umno, serta beberapa ahli dewan yang lain.

No comments:

Post a Comment