Monday, April 15, 2013

AMK sokong penuh calon KEADILAN Selangor, sedia tempur lawan BN

Azmizam

Angkatan Muda Keadilan Selangor hari ini ingin menyatakan sokongan terbuka kepada semua calon Parti Keadilan Rakyat untuk Dun dan Parlimen Negeri Selangor seperti yang diumumkan secara langsung oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dihadapan lebih 10,000 rakyat yang hadir menyaksikan majlis penuh bersejarah itu.

Disebalik beberapa desas-desus nakal yang dimainkan bahawa AMK Selangor begitu kecewa dan berdukacita, kerana tidak ada wakil sayap ini secara rasminya didalam senarai calon namun saya segera mahu menepis dakwaan tersebut dengan menyatakan ahli-ahli AMK Selangor menerima keputusan pemilihan calon itu dengan penuh rendah diri, dan berazam untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera anak muda di seluruh negeri Selangor ini.

Soal berkecil hati dan merajuk tidak pernah wujud dalam perjuangan anak muda, AMK Selangor menyedari begitu ramai calon berwibawa yang perlu diketengahkan disebalik kerusi yang terhad. AMK Selangor begitu memahami dan berterima kasih dengan keteguhan dan tolak ansur yang dimainkan oleh Pengerusi MPN Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam proses menyenarai pendek calon yang berkelayakkan. Pastinya, inilah pilihan terbaik dan paling seimbang yang mampu diputuskan oleh beliau dan ahli akar umbi haruslah berdiri teguh menyokong keputusan penuh sukar ini yang pastinya meletakkan kepentingan rakyat sebagai paling utama.

Walaupun mungkin ada yang terkilan kerana tidak terpilih namun kami positif perasaan terkilan tersebut lahir kerana mereka ini begitu bersemangat untuk menjadi wakil membela rakyat dan juga simbol hadapan dalam menghadapi karenah Umno Barisan Nasional di negeri Selangor ini. Keadaan tersebut adalah normal dan AMK Selangor yakin mereka akan segera bangun untuk memberikan tenaga dan masa bagi memastikan semua calon pilihan parti menerima sokongan dan bantuan jentera yang cukup baik.Mereka ini telah bekerja dengan begitu keras sejak 2008 dan wajarlah sokongan dan kerjasama erat itu diteruskan lagi.

Beberapa kerusi panas seperti N46 Pelabuhan Klang yang mempertaruhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon baru adalah sebagai menebus kesilapan yang dilakukan oleh calon Keadilan yang lalu, dan pengundi Pelabuhan Klang pastinya mahu membalas permainan kotor Umno yang mengkhianati pilihan pengundi pada 2008 yang lalu. AMK Selangor menyeru pengundi-pengundi untuk memberikan sokongan padu terhadap Tan Sri Khalid, yang sanggup meninggalkan kerusi selesa di Ijok semata-mata untuk membalas budi pengundi di Pelabuhan Klang.

Mohamed Azmin Ali telah melafazkan ikrar untuk menjadi panglima mempertahankan Selangor dan kepimpinan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar, oleh itu AMK Selangor menitipkan semangat , kudrat, keringat, air mata dan doa untuk membantu Pengerusi MPN Selangor mengajar Umno Barisan Nasional apakah ertinya demokrasi, menghormati perlembagaan yang dijunjung tinggi dalam memartabatkan semangat zaman dan kedaulatan rakyat.

Umno Barisan Nasional terutama di negeri reformasi Selangor ini, akan diberi tentangan yang cukup sengit dalam sejarah kewujudan mereka. AMK Selangor bertekad untuk mengerah semua anak muda Keadilan seluruh negeri Selangor untuk turun bertempur dalam perang demokrasi yang berat sebelah, namun kami yakin dengan sokongan rakyat , kezaliman Umno Barisan Nasional bakal dinafikan sekali lagi di Selangor ini, malah akan tumbang juga di Putrajaya nanti.

Pertahankan Selangor, Tawan Putrajaya

AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

No comments:

Post a Comment