Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpendapat bahawa pembaharuan
yang ingin dijalankan ke atas suruhanjaya berkenaan lebih sesuai
dilakukan melalui penubuhan suruhanjaya diraja dan bukannya jawatankuasa
khas parlimen.
Abdul Rashid berkata "jalan pintas" seperti
jawatankausa khas parlimen tentang pembaharuan pilihan raya tidak boleh
berkesan untuk membawa perubahan sebenar.
"Jika kamu bawa
cadangan seperti sebelum ini, ia tidak berkesan sepenuhnya. Penyelesaian
yang mudah (jawatankuasa khas parlimen) tidak berkesan.
"Sebarang
pembaharuan mesti dilakukan dengan menyeluruh. Oleh itu, negara perlu
menubuhkan suruhanjaya bebas yang mempunyai kuasa yang tinggi. Lebih
baik jika ia adalah satu suruhanjaya diraja," kata Rashid ketika
dihubungi Malaysiakini.
Selain itu beliau berkata lagi,
suruhanjaya yang dicadangkan itu juga boleh membuat semakan terhadap
SPR secara keseluruhan termasuk undang-undang pilihan raya dan
memperbaiki SPR.
"Suruhanjaya itu hendaklah terdiri daripada pakar undang-undang, pakar perlembagaan dan pakar-pakar demokrasi pilihan raya.
"Tetapi jika ia adalah jawatankuasa yang terdiri sekali lagi daripada Ahli Parlimen, saya rasa tidak akan berjaya," katanya.
Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan
memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas
yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada
kerajaan atau pembangkang.
Katanya, ia bagi memperkukuhkan lagi
kewibawaan dan kredibiliti suruhanjaya tersebut, yang pada waktu ini
diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Dengan langkah ini,
diharap kebebasan SPR tidak dipersoal lagi dan keyakinan rakyat terhadap
SPR akan dapat diperkukuhkan," kata Najib.

No comments:
Post a Comment