B Nantha Kumar
PETALING
JAYA: Sekumpulan ahli PKR yang tidak puas hati dengan pengguguran Adun
Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar sebagai Exco negeri Selangor, meminta
PKR menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat isu tersebut.
Mereka juga menyarankan PKR mengeluarkan kertas putih hasil siasatan
agar PKR dilihat melaksanakan dan mengamalkan prinsip terbuka dan
telus.
“Sejak kebelakangan ini heboh diperkatakan tentang isu pengguguran Dr
Xavier sebagai Exco Negeri Selangor baru-baru ini,” kata Abdul Razak
Ismail, bekas pembantu khas beliau.
Menurut beliau, gelombang bantahan ahli-ahli PKR dari kalangan
masyrakat India mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar berbahasa
tamil, media sosial dan laman-laman web tempatan.
Penyerahan memorandum dan perhimpunan secara aman oleh ahli-ahli
parti dari kalangan masyarakat India di hadapan ibu pejabat PKR di
Tropicana, Petaling Jaya jelas menunjukkan ketidakpuasan hati kaum
India terhadap pengguguran Xavier yang dilihat sebagai peminggiran
seorang pemimpin India oleh pucuk pimpinan PKR.
“Lantaran, kita mencadangkan satu panel jawatankuasa ditubuh dimana
perlu dianggotai oleh individu-individu bebas dan bukannya dari
kalangan pimpinan parti bagi mengelakkan prasangka dan pertindihan
kepentingan (conflict of interest).”
Tiga perkara utama yang perlu diberi fokus utama adalah:-
a) Datuk Seri Anwar Ibrahim , Ketua Umum PKR dalam
pertemuannya dengan enam orang wakil NGO dan parti pada malam 27 Mei,
2013 di kediamannya di Segambut mengatakan bahawa Biro Politik PKR
telah menyenaraikan nama Dr Xavier sebagai salah seorang calon Exco
dan senarai tersebut telah diserahkan ke pejabat Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim, Menteri Besar Selangor.
Persoalannya apa jadi seterusnya dengan senarai tersebut?
b) Sumber-sumber yang layak dipercayai mengatakan
bahawa satu senarai nama calon PKR telah diserankan ke pihak Istana
Sultan Selangor semasa “ketiadaan” Abdul Khalid yang menjalani
pembedahan lutut di Jerman.
Persoalannya adakah isi kandungan senarai tersebut sama dengan salinan yang telah diputuskan oleh Biro Politik parti?
c) Ada juga laporan mengatakan bahawa pihak Istana
menolak nama Dr Xavier ekoran terdapatnya memorandum bantahan yang
diserahkan oleh segelintir “ahli-ahli PKR” sendiri yang tidak mahu
beliau kekal sebagai Exco bagi penggal kedua.
Sekiranya ia benar persoalan kenapa Abdul Khalid tidak melakukan
penjelasan kepada pihak Istana untuk mempertahankan Dr Xavier dari
tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau? Adakah parti juga
turut merestui tindakan segelintir ahli-ahli tersebut?
“Ramai yang beranggapan bahawa upacara pelantikan 10 orang Exco pada
30 Mei lalu di Istana Klang baru-baru ini bukan jalan penyelesaian
dan bertegas mengatakan,bahawa isu perlantikan Exco ini belum selesai
dan tidak boleh ditutup begitu sahaja,” kata Abdul Razak.
“Ianya ibarat menyapu sampai ke bawah permaidani (sweeping the
problem under the carpet). Ada masa dan ketika ianya bakal meletup,”
tambah beliau.
PKR harus punyai “keberanian” untuk menegakkan kebenaran kerana isu
ini bukan sekadar isu “Exco India” PKR atau isu peminggiran pemimpin
India dalam PKR tetapi sebaliknya ianya melibatkan kredibiliti dan
tahap ‘keboleh percayaan’ kepada setiap patah perkataan yang diucapkan
oleh pucuk pimpinan parti dalam isu ini.
Ianya juga melibatkan sama ada Dr Xavier diberikan ‘keadilan’ dan
‘layanan sewajarnya’ oleh parti yang dianggotainya sejak 13 tahun yang
lalu.
No comments:
Post a Comment