
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengesahkan menerima laporan kehilangan lebih 50,000 undi pada pilihan raya umum ke-13 seperti aduan seorang pengundi, Mohd Azlan Mohd Sharif, 30 Mei lalu.
“Suhakam ingin mengesahkan penerimaan aduan yang tersebut,” menurut kenyataan Ketua Penolong Setiausaha Kumpulan Aduan, Inkuiri & Pemantauan Suhakam yang turut dipanjangkan kepada pengadu.
“Perkara yang dibangkitkan akan diambil perhatian yang sewajarnya,” tambah kenyataan yang dikeluarkan 4 Jun lalu.

Pada 30 Mei, Azlan membuat enam laporan polis menuntut siasatan berhubung keputusan PRU ke-13 yang digazetkan 22 Mei lalu, berbeza dengan yang diumum pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui borang 16.
Menurut Azlan, 53,045 kertas undi ‘hilang’ melibatkan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara kecuali DUN Sungai Acheh, di Pulau Pinang dan DUN Banggi serta DUN Labuk, Sabah.
Enam laporan polis melibatkan kehilangan undi, salah kira, maklumat yang berubah, perbezaan undi yang dikeluar di parlimen dan DUN, maklumat kerusi parlimen dan DUN berbeza sebelum dan selepas diwartakan dan kecuaian anggota polis.
Menurut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, ia adalah kesalahan jenayah mengikut seksyen 3(1)(h) dan seksyen 6 (2).
No comments:
Post a Comment