Masa depan OKU bersama Pakatan Rakyat lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini di bawah BN.
KUALA LUMPUR: Calon PAS Parlimen Titiwangsa Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menawarkan diri untuk berdebat dengan wakil Barisan Nasional (BN) mengenai nasib dan masa depan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Ini berikutan keluhan wakil Persatuan Orang Buta Mohammad Faizal Che Yusof dalam laporan akhbar The Sun mengenai nasib dan layanan yang diterima 2.8 juta OKU untuk bertarung dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Selain itu, masalah pengangguran, beban ekonomi, serta kadar kemiskinan bandar yang semakin meningkat turut dirasai golongan terbabit.
“Saya sedia berdialog dengan Mohammad Faizal yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Bangkit serta calon Umno khususnya di Parlimen Titiwangsa.
“Bahkan saya sedia bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pemimpin Umno bagi membuktikan masa depan OKU bersama Pakatan Rakyat lebih terjamin berbanding kehidupan mereka selama ini dibawah BN.
“Tarikh, masa dan tempat perdebatan terpulang kepada Mohammad Faizal,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.
Katanya, menjadi dasar Pakatan Rakyat memastikan setiap golongan OKU dibantu termasuk kemudahan awam dan pendidikan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Rakyat.
Beliau berkata, kehidupan OKU masih lagi ditakuk lama, bahkan kebanyakannya dipandang remeh seolah-olah mereka adalah golongan kelas kedua yang terpaksa menagih simpati dan belas kasihan masyarakat untuk hidup.
Namun, kerajaan BN pula tidak memandang golongan ini dengan perhatian utama dan membiarkan mereka sehingga tersisih daripada arus pembangunan.
“Sebagai kerajaan menanti (government in waiting) Pakatan Rakyat berazam dan berikhtiar membantu OKU sedaya upaya supaya golongan ini mempunyai kedudukan dan hak setaraf insan sempurna,” katanya.
No comments:
Post a Comment