Norhayati Umor
26 Mei 2013
PETALING JAYA 26 MEI : Perjanjian damai bagi menghormati keputusan
Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) didakwa dilanggar oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak sejak dari awal lagi.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian yang
ditandatangani antara dirinya dan Najib tidak lagi dianggap terpakai
selepas berlakunya penipuan semasa berkempen, tiada kebebasan media dan
proses pilihanraya yang tidak adil.
Sebelum ini, akhbar The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa
satu perjanjian dibuat antara Anwar dan Najib dimana mereka memberi
komitmen untuk tidak menyerang antara satu sama lain secara peribadi
semasa berkempen.
Perjanjian yang diatur oleh bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla
itu meminta agar Najib dan Anwar menerima sebarang keputusan pilihan
raya.
“Tidak perlu hendak cari kesalahan orang lain jika Najib sendiri yang melanggar syarat (perjanjian damai) tersebut.
“Kita sudah tandatangan syarat yang ditetapkan tetapi ia tidak
berlaku,” katanya kepada pemberita selepas upacara penutup Kongres PKR
ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini,
semalam.
Jusuf dilaporkan mendakwa Anwar mengingkari perjanjian itu yang digerakkannya pada April lalu, sebulan sebelum PRU13 diadakan.
Jusuf dilaporkan berkata, beliau menghubungi Anwar sehari selepas
PRU13 dan meminta Ketua Pembangkang itu supaya menghormati komitmen dan
‘melihat realiti’.
WSJ juga melaporkan Anwar mengakui beliau membuat perjanjian bersama
Najib, dengan Jusuf sebagai orang tengah, namun Anwar mendakwa Barisan
Nasional (BN) membatalkannya melalui cara mereka menjalankan kempen.
Di sidang media semalam, Anwar turut menafikan beliau pernah
bersemuka dengan Najib, sebaliknya perjanjian itu ditandatangani
berasingan selepas mendapat nasihat daripada pemimpin tertinggi Pakatan
Rakyat.
Katanya, beliau akan bersemuka dengan Jusuf dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar.
No comments:
Post a Comment