"Kita minta kerajaan beri perhatian kepada tuntutan rakyat. Dengar cakap rakyat atau kami tumbangkan kerajaan yang ada,"
Sunday, May 26, 2013
PKR Mula Failkan Petisyen 29 Kerusi Minggu Depan
PETALING JAYA: Bermula minggu ini, PKR akan mula memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 di 29 kerusi parlimen berhubung kepincangan yang berlaku dalam proses pengundian.
Petisyen tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.
Demikian menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam ucapannya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin yang membanjiri Himpunan Kemuncak Suara Rakyat 505 di Padang Timur MBPJ Sabtu lalu.
Rafizi turut menempelak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya diperkudakan oleh Umno-BN.
“Kalau rakyat beritahu ada penipuan, mereka (SPR) patut cakap… baik rakyat, kami akan siasat seadil-adilnya, susah sangat ke nak cakap macam itu?
“Kalau ketagih sangat nak jadi ahli politik, letak jawatan sekarang juga, jangan jadi Timbalan Pengerusi SPR,” kata Rafizi.
Sementara itu Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk Ambiga Sreenevasan pula percaya kegagalan fungsi dakwat kekal sememangnya sudah diketahui oleh SPR sendiri sebelum pilihan raya bermula.
“Sebab itulah SPR tidak mahu mengadakan demonstrasi dakwat kekal sebelum pilihan raya kerana dia sudah tahu dakwat tersebut tidak kekal,” ujar Ambiga.
Pakatan Rakyat mempercayai PRU-13 yang berlangsung pada 5 Mei lalu adalah yang terkotor di dalam sejarah negara.
Bagaimanapun keputusan pilihan raya tersebut boleh dicabar dengan mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas pewartaan keputusan oleh SPR.
Petisyen tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya diwartakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment