Timbalan
Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan sekaligus
merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Nasional ke-9
Kita baru pulang dari medan perang. Alhamdulillah, semangat anak muda dan wanita terus membara dan istiqamah membawa panji KEADILAN dan menyemarakkan semangat reformasi.
Saya yakin agenda anak muda dan wanita akan diperkukuh dalam Dewan Rakyat dengan terpilihnya Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Puan Hajah Zuraida Kamaruddin sebagai Ahli Parlimen bersama beberapa tokoh muda yang lain seperti Saudari Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Saudara Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan), Saudara Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Saudara G. Manivannan (Ahli Parlimen Kapar) dan Saudara Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang). Tenaga muda telah memberi corak baru dalam polar pengundian baru – baru ini.
Inilah kali pertama Ketua Angkatan Muda dan Ketua Wanita KEADILAN akan bersama dalam Dewan Rakyat. Saya yakin, ‘Giant Killer’ di Bukit Katil dan ‘Iron Lady’ dari Ampang akan mengegarkan perbahasan di Parlimen untuk 5 tahun yang akan datang.
Terbukti apabila anak muda dan wanita diberikan peluang dan sokongan, mereka juga akan berjaya. Justeru, saya menggesa kepimpinan parti untuk terus memberi dorongan dan ruang kepada generasi muda dan wanita untuk diberikan tanggungjawab yang lebih besar dalam kepimpinan parti.
Yakinilah bahawa organisasi dan kepimpinan yang diterajui oleh anak muda berpotensi menggerakkan organisasi dengan lebih efektif dan tampil dengan idea baru yang segar dalam aspek ekonomi, budaya dan politik. Martha C. Nussbaum telah mengungkapkan dalam bukunya yang terbaru sebagai ‘Creating Capabilities’.
Adapun kekuatan yang kita bina selama ini adalah untuk menang dalam pilihan raya, namun perjuangan yang sebenar ialah apabila kita tidak pernah berundur dan terus istiqamah membawa obor perjuangan yang suci ini. Mari kita bersama menghayati kata – kata Churchill ;
“In War : Resolution. In Defeat : Defiance. In Victory : Magnanimity. In Peace : Goodwill.”
KEADILAN bukan hanya bergerak lima tahun sekali untuk pilihanraya semata-mata. Perjuangan kita bertunjangkan cita – cita untuk memastikan negara ini makmur, demokratik, adil dan saksama demi rakyat Malaysia.
Keazaman untuk meneruskan cita – cita murni rakyat, iltizam politik dan prinsip perjuangan yang teguh adalah faktor kejayaan kita melakukan perubahan besar dalam lanskap politik negara dan mendapat lonjakan sokongan rakyat dalam dua pilihan raya umum yang lalu.
“Strength doesn’t come from winning, your struggles develop it. When you go through hardship and decide not to surrender, that is strength.”
- Mahatma Gandhi
Kita mesti mengambil peluang ini untuk kembali tenang dan bermuhasabah, merenung serta kembali mengatur langkah untuk memperkukuhkan sokongan rakyat.
Makanya, kita ini tidak ubah umpama watak dalam dialog Plato yang terkenal, Nomos atau The Laws of Plato. Kita seperti Athenian Stranger yang meniup keyakinan baru kepada Megillus seorang Spartan dan Kleinias dari Pulau Crete, bahawa tujuan akhir kebijakan mahupun undang-undang adalah demi kemaslahatan atau eudaimonia rakyat semata-mata.
Kerana itu kita tidak boleh surut dari ikhtiar ini. Iltizam mesti diperkuatkan, keazaman mesti diutuhkan, percayalah setiap masa dan setiap saat kita sudah berjaya merungkai pemikiran regim lama yang dahulunya mencengkam. Rakyat Malaysia kini bukan sekadar membuat undi protes tetapi bangkit bersama – sama dengan kita menuntut kebijakan dan undang-undang yang berlegar sekitar kemaslahatan mereka.
Mutakhir ini, hasrat membangunkan suatu masyarakat demokratik dan sistem dwi – parti berkumandang seantero Malaysia. Manakala kita berjaya menghadirkan politik baru dan wacana segar, namun ia juga menuntut suatu proses berterusan untuk mengakarkan pemikiran – pemikiran tersebut.
Oleh kerana itu, ianya membabitkan bukan sahaja gerakan politik, akan tetapi menuntut suatu gerakan kebudayaan yang menyeluruh, yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
Prestasi KEADILAN dalam PRU-13
Menilai prestasi KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum ke 13, kita telah menggugat hegemoni UMNO – BN yang telah berakar selama lebih 5 dekad sehingga mengakibatkan terbentuknya sebuah Kerajaan Minoriti. Aneh bin Ajaib, demokrasi di Malaysia. Pakatan Rakyat yang memperolehi 51% undi popular dari rakyat menjadi pembangkang manakala UMNO yang hanya menerima 47% boleh membentuk Kerajaan.
Tahniah kepada saudara – saudari sekalian, kerana saudara – saudari lah; KEADILAN telah berjaya meraih 2.3 juta undi dari 4.8 juta pengundi di 99 kawasan Parlimen yang ditandingi oleh KEADILAN.
KEADILAN telah mengemukakan 61 orang calon dibawah umur 40 tahun dan 30 orang calon wanita untuk bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. 19 daripadanya telah terpilih sebagai wakil rakyat untuk membawa suara generasi muda sementara 11 wakil rakyat yang lain akan menyuarakan agenda wanita.
KEADILAN adalah satu – satunya komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai kerusi menang di kesemua 14 buah negeri di Malaysia. Jika dahulu kita tidak mempunyai satu pun kerusi di Sabah, kali ini KEADILAN telah menang tujuh (7) kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dan satu (1) kerusi Parlimen di Penampang.
We are a party of giant slayer. Saudara Shamsul Iskandar, menggulingkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka). Saudari Nurul Izzah menewaskan Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar). Saudara Gooi Hsiao Leung mengalahkan Dato’ Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Saudara Darell Leiking menumbangkan Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi). Laksamana Imran Abd Hamid menang melawan Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan) dan Dato’ Idris Jusi mengalahkan Dato’ Dr. Mohd Puad Zarkashi (Timbalan Menteri Pelajaran).
Rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU – 13. Mandat rakyat di 89 buah kerusi Parlimen adalah kejayaan muafakat Pakatan Rakyat. Keyakinan rakyat masih utuh bahawa Pakatan Rakyat mampu melakar perubahan. Kerana itu pimpinan Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia mengkhianati cita – cita rakyat. Etika tahaluf siyasi menuntut ketuntasan di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
Wahai orang – orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian- perjanjian ( Surah Al Maidah : 1)
KEADILAN sebagai parti masa hadapan
Dalam sistem demokrasi, parti politik diuji dengan pilihan raya umum setiap lima tahun. Tetapi pencapaian dalam politik tidak terbatas dengan kempen dan gerak kerja pilihan raya semata – mata.
Menjelang PRU – 13, JPRP telah membuat persiapan yang jauh lebih baik berbanding pilihan raya 1999, 2004 dan 2008. Saya bersama pasukan JPRP kerap menghubungi dan mendampingi calon dan pimpinan Negeri untuk memberi sokongan moral kepada mereka dan berusaha memenuhi keperluan mereka dalam berhadapan dengan pilihan raya. Untuk masa hadapan, kita perlu lebih bersedia.
Kita mempunyai kesenjangan waktu selama 5 tahun daripada sekarang untuk membina kekuatan parti. Segala kekuatan perlu digarap untuk memperkukuh organisasi dan struktur KEADILAN sebelum berdepan dengan perang akan datang.
Tetapi persediaan kita tidak terbatas kepada gerak kerja pilihan raya sahaja. Apa yang perlu kita lakukan adalah pembangunan parti secara menyeluruh yang melibatkan beberapa aspek : Pembangunan Kepimpinan, Perkaderan, Organisasi dan Kewangan.
Pembangunan kepimpinan bermaksud tarbiyah kepimpinan dari segi intelektual, keperibadian dan political skill. KEADILAN adalah sebuah parti massa. Kita sentiasa menambah keanggotaan parti. Namun kuantiti anggota tidak akan menjamin kekuatan parti. Justeru, mereka perlu dilatih sebagai kader yang menjadi jentera parti dalam pilihan raya dan penggerak kepada kempen – kempen yang kita laksanakan dari masa ke masa.
Latihan yang teratur dan berkala dengan menggabungkan kefahaman prinsip dan idealisme perjuangan serta jati diri akan menjamin asas organisasi yang lebih kukuh disamping mampu melahirkan pimpinan, kader dan anggota yang mampan serta tuntas dengan perjuangan KEADILAN.
Bagi merealisasikan hasrat ini, saya ingin mencadangkan penubuhan Institut Ta’dib Siyasi (Institute for Political Education) dengan tenaga pelatih yang wibawa, fasilitator yang tetap, kemudahan latihan yang berteknologi canggih serta sejumlah peruntukan yang dapat memenuhi keperluan institusi ini.
Program ini harus melibatkan pimpinan dan anggota parti di semua peringkat dan ianya perlu berjalan secara berkala dengan sasaran 10,000 kader setiap tahun. Usaha ini perlu menjadi fokus Angkatan Muda dan Wanita yang berperanan sebagai nadi kepada usaha kaderisasi bagi membentuk satu gerakan massa yang progresif dan berdaya tahan.
Satu aspek yang juga penting dalam pembangunan parti adalah kewangan. Pemikir strategi Von Clausewitz berkata; “war is an extension of politics by other means”. Politik adalah sejenis peperangan. Dalam perancangan perang, terdapat dua (2) unsur wajib; pertama persepsi dan kedua sumber.
Dalam perang politik, kita perlu membina dan mengurus persepsi rakyat melalui manifesto dan komunikasi politik. Tetapi segala ini akan menjadi ‘lame duck’ sekiranya kita tidak mempunyai sumber. Apakah kita mahu KEADILAN menjadi ‘lame duck’ political party ?
Justeru bagi memastikan KEADILAN terus relevan dan sejajar dengan aspirasi rakyat, kita perlu memperkukuh organisasi, menggilap idealisme dan citra perjuangan agar perjuangan KEADILAN terus meraih dokongan rakyat Malaysia.
Politik perkauman usang
Pasca PRU – 13, menyaksikan negara dan rakyat sekali lagi dihambat dengan api perkauman sempit yang ditiup oleh kelompok yang gusar dengan kebangkitan rakyat. Tatkala Perdana Menteri mengusulkan ‘National Reconciliation’, beliau turut mendakwa keputusan PRU – 13 adalah kesan ‘tsunami cina’.
Saya yakin apa yang berlaku dalam PRU – 13 bukan ‘tsunami cina’ tetapi ianya adalah ‘tsunami rakyat’; kebangkitan rakyat Malaysia menolak rasuah, kezaliman dan menuntut perubahan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Dakwaan bahawa orang Cina ingin merampas kuasa politik adalah meleset kerana dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kita dibenarkan untuk memilih pemimpin. Itu bukan merampas kuasa politik sebaliknya adalah menggunakan hak untuk memilih.
Rakyat turut digemparkan dengan hasutan Utusan Malaysia; “Apa lagi orang Cina mahu ?” Saya ingin beritahu Utusan Malaysia. Ini jawapan seorang pengundi Cina di Gombak. Namanya Lim Ying dari Kuala Ampang. Saya tanya kepadanya apa yang orang Cina mahukan. Lim Ying menjawab; “Saya rakyat Malaysia. Saya lahir di Malaysia. Saya setia kepada Yang Di Pertuan Agong. Saya mahu negara ini bebas daripada rasuah. Saya mahu keadilan sosial untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia.
Adakah hasrat ini dimonopoli oleh orang Cina sahaja ? Saya cukup yakin, hasrat Saudara Lim Ying juga adalah aspirasi rakyat Malaysia.
Bagai mencurah minyak ke api, kenyataan perkauman Dato’ Sri Najib disambut oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Pro – Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya yakin dan percaya seluruh pengamal undang – undang dan para akademia turut berasa kesal dan malu di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka.
Bagaimana seorang tokoh pendidik boleh mencadangkan langkah ke arah perpaduan nasional adalah melalui penutupan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Saya percaya warga pendidik menyakini bahawa perpaduan nasional tidak boleh dibina di atas keruntuhan bahasa ibunda dan budaya kaum yang lain. Jamak bahasa dan budaya adalah khazanah negara yang harus diraikan.
Pendirian Pakatan Rakyat jelas. Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda mesti fasih menguasai Bahasa Kebangsaan. Pada masa yang sama, rakyat perlu diberikan pilihan untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan Bahasa Ibunda sebagai bahasa pengantar.
Perpaduan tidak boleh dibina dengan paksaan. Perpaduan nasional perlu diasaskan kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan. Justeru itu, sesebuah pemerintahan perlu melibatkan penyertaan yang inklusif serta melaksanakan kebijakan yang adil dan saksama.
Permulaannya adalah dengan mewujudkan muafakat nasional untuk menghapuskan dasar yang berasaskan kaum dan menggantikannya dengan dasar yang berasaskan keperluan. Jika tidak ada sesiapa yang merasa dia terpinggir oleh sebab latar belakang etnik, maka keperluan untuk identifikasi kaum secara semula jadi akan terhapus.
Politik umpan perkauman yang dicetuskan oleh UMNO adalah bukti yang cukup untuk menunjukkan bahawa program transformasi Najib adalah retorika politik dan bukan tercerna daripada keyakinan diri. Sikap ini turut dikongsi oleh Menteri Dalam Negeri yang baru, Ahmad Zahid Hamidi bahawa rakyat yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya boleh keluar ke negara lain. Pendirian beliau dalam proklamasi pertama sebagai menteri telah memperlihatkan betapa Zahid Hamidi adalah seorang yang bongkak dan tidak menghormati hak rakyat yang telah membuat pilihan.
Rakyat tidak ada masalah dan tidak bermusuhan dengan negara Malaysia yang tercinta ini. Akan tetapi rakyat bermasalah dengan UMNO – BN. Malaysia adalah milik kita semua. Kami menjunjung taat setia kepada Raja dan Negara.
Pencabulan hak asasi
Rakyat bangkit menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. Apabila kemenangan rakyat dirompak oleh UMNO, adalah menjadi hak rakyat yang dijamin perlembagaan untuk mereka menyuarakan rasa kecewa serta kemarahan mereka.
Perhimpunan aman adalah hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebarang usaha untuk menyekat hak asasi ini merupakan pencabulan kepada perlembagaan. Dalam demokrasi yang sihat, exploitasi aparat kekuasaan negara terhadap rakyat perlu dihentikan.
Kita bukan sahaja bercakap tentang kelemahan sistem pilihan raya. Tetapi, kita telah membuktikan siri penipuan yang sistematik dalam skala besar. Ini menuntut reformasi sistem pilihan raya demi mengembalikan maruah dan kredibiliti institusi demokrasi dalam negara.
Melihat kepada pencabulan yang dilakukan dalam PRU – 13, benarlah apa yang dilontarkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said, bahawa pilihan raya ini adalah ‘Ibu Segala Penipuan’.
Bantahan terhadap penipuan dalam proses pilihan raya mesti diteruskan dan dipertingkatkan usaha secara bersama dengan BERSIH dan juga badan – badan NGO’s yang lain. Cadangan Dato’ S. Ambiga dan BERSIH mengenai pembentukan Tribunal Awam harus menjadi medan untuk rakyat mengemukakan bukti dan bantahan terhadap keputusan pilihan raya yang tidak demokratik. Cabang, Agen – Agen Pilihan Raya dan orang awam harus tampil segera dengan bukti – bukti yang sahih untuk peguam – peguam memulakan prosiding perundangan.
Saya mengecam pendakwaan terhadap YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adam Adli serta siri penangkapan beberapa pemimpin politik dan NGO’s termasuk YB Tian Chua dengan motif untuk menekan dan menutup suara rakyat daripada berbicara soal demokrasi. Pemerintah menjadi gusar melihat kebangkitan dan keberanian anak – anak muda Malaysia yang tuntas menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Keberanian rakyat Malaysia menuntut perubahan menjanjikan sebuah negara Malaysia yang gagah, masyarakat yang harmoni dan negara yang makmur.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya
Ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada gerrymandering yang didalangi UMNO. Persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan.
Peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor – syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR.
Justeru, sebuah suruhanjaya baru yang bebas, telus dan profesional perlu dibentuk untuk meneliti urusan persempadanan bahagian pilihan raya.
Boundary Commission for England diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan – kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun. Antara kriteria – kriteria yang menjadi pertimbangan adalah electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties. Garis panduan ini terkandung dalam Laporan Boundary Commission for England 2013.
Justeru saya mencadangkan supaya Angkatan Muda dan Wanita supaya proaktif untuk memulakan usaha berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan kewajaran persempadanan baru berasaskan etika demokrasi sebagai cadangan balas terhadap syor – syor persempadanan semula oleh SPR pada hujung tahun ini.
Kita akur bahawa demokrasi di Malaysia semakin segar. Ini adalah hasil dari kesedaran rakyat dan kebangkitan rakyat. Rakyat kini sedar hak mereka dan memahami prinsip karamah insaniah. Darjat insan itu mulia, mereka tidak boleh diperkotak – katikkan oleh Sang Penguasa, tidak boleh ditindas dan undi mereka tidak boleh dijual beli.
Akibat dari kesedaran tersebut, rakyat semakin kritis terhadap pemerintah. Zaman di mana pemerintah mendapat sokongan besar rakyat sudah berlalu. Dalam PRU – 12, rakyat menafikan majoriti 2/3 BN yang sebelum itu diperolehi dengan mudah.
Pada waktu yang sama, kita bertanggungjawab tidak membiarkan suasana 51 – 47 merudum ke arah suasana buntu atau political impasse. Konflik dan pertelingkahan yang tiada penghujung. Saya berpendapat semua pihak perlu menggembeling moral courage untuk mencipta political dialogue and engagement across the political divide.
Jika kita mengaku ingin berkhidmat demi rakyat, patriotis dan mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak mengatasi kepentingan kelompok, maka kita perlu mencari titik temu atau common ground untuk membawa kemajuan politik di Malaysia.
Kita perlu merenung peristiwa Hudaibiyyah di mana berlaku jalan buntu antara umat Islam dengan Quraisy di Mekah. Pada mulanya, inisiatif Rasulullah untuk berunding dan mengadakan perjanjian dengan Quraisy telah ditolak keras oleh para sahabat. Tetapi Perjanjian Hudaibiyyah telah membuka dialog dan engagement yang akhirnya membawa kepada kemenangan Islam. Kebijaksanaan Rasulullah ini perlu kita garap demi kemenangan rakyat.
Seusai Kongres ke 9 ini, kita pulang ke Cabang masing – masing dengan keyakinan bahawa majoriti rakyat bersama kita. Peraturan sulung politik adalah ‘all politics is local’. Kerana itu, kita mesti memperkukuh sokongan yang sedia ada. Pada masa yang sama menggembeling usaha memperluas tapak pengaruh kita.
Kita mesti bersama rakyat, bukan sahaja di pentas pidato, tetapi juga menari bersama rentak dan irama masyarakat. Derita rakyat adalah derita kita. Kegembiraan rakyat adalah kegembiraan kita. Kita dan rakyat laksana satu nyawa.
Dengan prinsip dan keyakinan ini, Insha Allah kita akan menempa kejayaan rakyat
Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN
No comments:
Post a Comment