"Kita minta kerajaan beri perhatian kepada tuntutan rakyat. Dengar cakap rakyat atau kami tumbangkan kerajaan yang ada,"
Saturday, May 25, 2013
Nik Aziz: Umno temui jalan mati
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal menandakan Umno kini sudah berada di jalan mati.
Menurutnya, sambutan baik Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yasin terhadap cadangan itu membuktikan BN mengakui bahawa perjuangan berasaskan bangsa yang selama ini diperjuangkan oleh komponen parti itu sudah tidak relevan lagi di Malaysia.
Muhyiddin ketika di Phuket, Thailand semalam berkata cadangan menjadikan BN parti tunggal sebagai satu cadangan yang rasional dan penting agar parti itu kekal relevan di negara ini.
Nik Aziz dalam facebooknya hari ini membidas kenyataan itu, katanya, “PAS sejak dahulu lagi sering menegaskan, perjuangan berasaskan bangsa tidak akan ke mana. Akan sampai di satu jalan mati, Umno akan terpaksa berpatah balik semula ke belakang.
“Pada saya, ini menandakan bahawa Umno sendiri mula sedar perjuangan berasaskan bangsa sudah tidak relevan lagi di Malaysia,” kata beliau yang juga menteri besar Kelantan.
“Sekalipun Umno menang di kebanyakan kerusi yang ditandingi, tetapi kemerosotan BN di parlimen membuktikan bahawa Umno hanya disokong oleh orang-orang Melayu yang berada di luar bandar.
“Golongan inilah yang masih termakan umpan Umno sehingga tertelan dengan mata kail, jelas Nik Aziz.
Katanya, di dalam syurga dan neraka kelak, penghuninya tidak ditentukan atas nama bangsa.
Rasulullah SAW di dalam bulan Rejab ini diisrakkan oleh Allah SWT ke langit dan baginda telah diperlihatkan syurga dan neraka.
“Carilah di dalam hadis berkenaan kisah ini, tersuakah kita dengan kalimah bangsa sebagai faktor penghuni syurga atau neraka?,” soal beliau.
Sedikitpun tidak, tetapi Umno berkokok membela Melayu bagaikan itulah segala-galanya bagi Umno tanpa menyedari bahawa tempikan seperti itulah yang menjadi punca pemecah belah masyarakat.
Katanya, beliau bukan anti Melayu, tetapi anti perjuangan hipokrit Umno yang banyak menipu dalam segala hal. Dalam nampak bersungguh membela Melayu, Melayu Kelantan ditindas lebih dua dekad hanya kerana memilih PAS di dalam pilihanraya.
“Royalti dinafikan, projek lebuhraya dicabut, peruntukan perumahan entah ke mana dan banyak lagi senarai kezaliman Umno kepada Melayu Kelantan. Sebab itu jika Umno menjerit bela Melayu, pada saya itu maknanya Umno sedang berbohong,” tegas beliau.
“Jika dikatakan Umno bela Islam, itu juga satu pembohongan. Betapa banyak karat jahiliyyah yang Umno tinggalkan di Kelantan terpaksa dibersihkan oleh PAS apabila mengambil alih pentadbiran pada tahun 1990?
“Adakah itu bukti Umno bela Islam. Begitu juga dengan demokrasi, pun dinafikan oleh Umno. Ketelusan dalam pilihanraya, kebebasan bersuara dan akses kepada media yang sepatutnya menjadi inti utama kepada demokrasi pun tidak wujud di Malaysia,” ujar beliau lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment