IPOH: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina kaum lain.
Mohd Noor semalam dilaporkan menyeru golongan Melayu agar bertindak lebih agresif untuk mempertahankan hak mereka serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu.
Katanya, ini kerana orang Cina mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu itu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.
Anwar berkata, kenyataan Mohd Noor itu rasis apabila membangkitkan isu perkauman dan mengheret kebencian antara kaum.
“Cuba saudara bayangkan, hari ini 2013, masih ada bekas hakim perkakas Umno, namanya Mohd Noor buat kenyataan begitu rasis,” kata Anwar depan 50,000 rakyat pada Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13 di Ipoh, Perak malam tadi.
Katanya, penyakit perkauman sempit ini menjadi nadi dan fahaman dalam Umno, dan sebab itulah Umno harus dihumban dari negara ini.
“Ini bukan soal parti, bukan soal KEADILAN, DAP atau PAS. Ini bukan soal tokoh, bukan soal marah kita kerana pilihan raya tipu, ini soal menyelamatkan negara Malaysia yang tercinta dari perasuah dan pengamal perkauman.
“Saya Melayu, saya orang Islam, saya bangga dengan budaya saya dan saya amalkan agama saya, tetapi saya tidak pernah mengajak dan menganjurkan supaya anak-anak dan keluarga kita menghina kaum lain,” kata Anwar.
“Bangun dan selamatkanlah negara kita. Kita mesti ada pemimpin yang berani. Berani mengatakan ya saya seorang Melayu tetapi saya tetap pertahankan hak tiap rakyat negara kita pelbagai kaum dan agama, baru boleh pimpin negara ini,” tegasnya lagi.
Tambahnya, tiada salah semua masyarakat berbilang kaum di negara ini mengangkat dan menyanjungi di antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa.
“Bila Umno BN kalah (undi popular), apa Najib (Razak) kata? ‘Tsunami Cina’. Apa salah kalau Cina pertahan dan sokong keadilan, sokong hak asasi, sokong negara yang bersih dari rasuah.
“Apa salah kita angkat Lim Guan Eng, seorang Ketua Menteri yang rekodnya baik dari segi ekonomi, berperibadi baik serta tidak rasuah dan bersih. Saya juga sokong Guan Eng,” kata Anwar.
“Apa salah untuk orang Cina memuliakan seorang tokoh besar seperti Tuan Guru Nik Aziz (Nik Mat) kerana peribadinya, kecemerlangannya, akhlaknya, moral dan integritinya, serta prinsipnya mempertahankan hak semua rakyat dan memuliakan Islam. Apa salah orang Cina angkat dan muliakan Nik Aziz,” katanya disambut tepukan gemuruh.
No comments:
Post a Comment