Tuesday, May 28, 2013

Najib mahu Malaysia jadi macam Myanmar?


 SEAWAL Najib dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2009, beliau sudah menunjukkan taring dan kuku besinya dengan melanyak demonstran perhimpunan aman yang mendesak kerajaan menghapuskan ISA.
Cuma asap kanister dan air asid berhamburan menyelubungi dan membasahi bumi Kuala Lumpur yang tegang tengahari itu. Jalan Kinabalu menjadi saksi, mujurlah saya dapat memboloskan diri daripada dilanyak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan berjaya keluar daripada kawasan perang masuk ke Jalan Parlimen.

Kini, Najib sekali lagi diberi peluang menjadi Perdana Menteri Malaysia untuk penggal kedua. Walaupun kerajaan makin alah dengan perhimpunan aman, nampaknya strategis beliau telah menukar modus operandi mengekang kebangkitan suara rakyat dengan cara kedua iaitu cara yang diturunkan mahagurunya, Mahathir Mohamad.

Tangkap, dakwa, sumbat…

Sudah beberapa orang ditahan, antara yang terawal ialah aktivis mahasiswa Adam Adli kemudian diikuti Datuk Tamrin Ghafar, Harris Ibrahim dan Tian Chua. Walaupun telah dibebaskan dengan jaminan, kita tidak tahu entah siapa lagi yang akan menjadi mangsa serkap jarang Najib.

Kemudian, hanya dalam beberapa detik, negara dikejutkan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memulakan operasi merampas akhbar suara parti Pakatan Rakyat; Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket.

Apa salah akhbar berkenaan? Kalaulah ia membuat fitnah, mengapa tidak pula disaman di mahkamah? Kalaulah ia menghasut, bagaimana pula dengan Utusan Malaysia yang lebih daripada menghasut? Mana pergi laungan transformasi politik dan berbakul lagi slogan transformasi yang dilaungkan Najib?

Malaysia mahu jadi Myanmar?

Kebanjiran tenaga kerja dan hubungan diplomasi Malaysia dan Myanmar bukan bererti kerajaan BN perlu bermutasi menjadi klon kedua kerajaan Myanmar.

Dalam kenyataan Hari Wesak, Jumaat baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyebut penahanan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat mengingatkan kita mengenai apa yang pernah berlaku di Myanmar selepas penguasa tentera kalah pada pilihan raya.

“Pada 1990, pergerakan demokrasi di Myanmar pimpinan Pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Syu Kyi menang pilihan raya umum dengan 80% kerusi, tetapi tidak dibenarkan mengambil alih kuasa; lalu jeneral mengambil alih dengan melaksanakan pemerintahan tentera yang kejam dan melanggar hak asasi manusia.”

Adakah selain Mahathir, Najib juga berguru dengan kerajaan junta Myanmar? Nampak benarlah, tindakan menindas, membuli, menakut-nakutkan ini merupakan tindakan yang saling tidak tumpah seperti apa yang dilakukan bekas Perdana Menteri paling lama memerintah Malaysia, Mahathir Mohamad.

Najib takut Anwar dan…

Kalau Mahathir takut dengan Anwar, apatah lagi Najib. Beliau bukan sahaja dikatakan orang takut dengan Anwar, PR dan seorang mahasiswa berusia 24 tahun, beliau juga takut dengan kertas bercetak, yang kalau ditimbang sekilo cuma 30 sen.

Langit Malaysia nampak makin gelap. Apa mungkin demokrasi negara ini akan terus mampu mempertahankan dirinya sendiri tanpa pembelaan rakyat yang patriotik? Tanya sama Najib, apa sebab bimbang, mungkin jawab Najib, rakyat memang sudah menang…

Alahai Najib ku…

No comments:

Post a Comment