Thursday, May 30, 2013

Sultan Selangor: Laksana segera Manifesto Pakatan

Jamilah Kamarudin


KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kerajaan Pakatan Rakyat yang terbentuk secara sah hari ini supaya segera melaksanakan manifesto mereka seperti yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Baginda dalam titahnya berkata, pihaknya percaya kejayaan Pakatan Rakyat dapat memerintah semula pentadbiran negeri kerana berjaya meyakinkan rakyat semasa PRU13 dengan manifesto mereka.

Menurutnya, manifesto yang dibuat itu merupakan satu janji bahawa apabila mereka memerintah ianya perlu ditunaikan tanpa berlengah dan adil, berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan juga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Oleh itu amatlah penting ianya ditunaikan dan janganlah melupakan rakyat yang menaruh harapan untuk menikmati sebuah negeri yang aman makmur dalam suasana rakyat hidup dengan penuh harmoni,” titahnya dalam ucapan Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Exco Selangor di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Menyifatkan pelantikan Exco sebagai satu amanah, Baginda bertitah, mereka yang dilantik itu perlu lebih berhati-hati menjalankan tugas dan tidak sama sekali cuba untuk mengelirukan rakyat negeri ini.

Ini memandangkan rakyat sekarang sudah bijak menilai serta mengetahui kehendak mereka, dibantu pula dengan media massa yang bebas dan media elektronik yang canggih sekaligus membolehkan rakyat menerima maklumat dengan cepat.

“Janganlah apabila memerlukan undi, ahli-ahli Yang Berhormat menjanjikan bulan dan bintang serta sanggup melawat mereka hingga ke dapur rumah tetapi apabila telah mendapat undi dan memperoleh kemenangan, kelibat ahli Yang Berhormat sekelian pun tidak kelihatan.

“Beta tidak berkenan mereka yang telah mendapat mandat ini mengambil kesempatan untuk memperolehi sesuatu demi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Baginda juga dalam ucapannya menyeru Exco melaksanakan tanggungjawab secara intelektual dan bukan emosi dengan mendahulukan rakyat dan negeri berbanding kepentingan diri atau parti masing-masing.

Selain itu, amalan rasuah juga tidak dibenarkan kerana akan menjatuhkan maruah dan imej seseorang sekaligus merosakkan Selangor, tambahan rakyat juga menurut Baginda amat benci dengan pemimpin yang terlibat dalam gejala ini.

“Beta juga menyeru dan menyarankan bahawa memandangkan tempoh berkempen pilihanraya telah pun tamat, ahli-ahli politik dari parti-parti politik yang bertanding perlulah berbaik-baik semula dan bekerjasama serta tumpukan tenaga untuk membina kemakmuran negeri bersama-sama untuk generasi akan datang.

“Tidak ketinggalan ucapan penghargaan kepada polis, tentera, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta jabatan awam lain yang berjaya mengekalkan keamanan semasa PRU13,” titah Baginda.

Janji manifesto

Pakatan Rakyat Selangor pada 19 April lalu melancarkan manifesto PRU13 dengan janji-janji baru, antaranya bantuan wang tunai RM500 kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan kali pertama.

Manifesto itu juga berjanji meneruskan program Skim Mesra Usia Emas serta memberi hadiah harijadi berupa wang tunai RM100 kepada mereka yang berusia genap 60 tahun.

Turut dijanjiikan Biasiswa Menteri Besar untuk pelajar ijazah lanjutan dengan bon kerajaan negeri sebagai usaha membentuk sebuah Bank Pemikir Negeri Selangor.

Bertema “Manifesto Pakatan Rakyat Selangor Meneruskan Kecemerlangan”, ia mengandungi empat teras iaitu Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, Rakyat Menerusi Aktiviti Keagamaan dan Kebudayaan serta Kerajaan Rakyat.

Antara lain, mereka berjanji mempertingkat kecekapan memproses urusan pemilikan tanah serta meneruskan tawaran bagi pemilikan geran tanah persendirian kepada pemohon yang layak, termasuk mereka yang menghuni lebih 12 tahun.

Selain itu, Pakatan juga berjanji mengusaha dan memperluas “Polis Komuniti” yang dibiayai kerajaan negeri, memberi pemeriksaan percuma kanser testis dan prostat untuk kaum lelaki.

No comments:

Post a Comment