Tuesday, May 21, 2013

Himpunan Kesyukuran Pakatan Rakyat, esok


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan teruskan bantahan terhadap PRU13 yang tidak bersih dan adil, kata Ahli Parlimen Petang Jaya Utara, Tony Pua.

“Pada masa yang sama, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana telah memberikan sokongan yang cukup hebat kepada Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya mempertahankan kuasa di Selangor, DAP telah meningkatkan jumlah kerusi dan juga majoriti yang diperolehi oleh calon-calon mereka.

Sehubungan itu, ujarnya DAP Wilayah Persekutuan dan Selangor akan menganjurkan satu Himpunan Kesyukuran Pakatan Rakyat pada 23 Mei (esok), jam 7 malam di Padang Timur, Petaling Jaya (hadapan Amcorp Mall).

Beliau berkata, antara penceramah pada himpunan itu termasuklah Lim Kit Siang, Nurul Izzah Anwar, Khalid Samad, Zaid Ibrahim, Tamrin Ghafar, Teresa Kok, Teng Chang Khim dan Tan Kok Wai.

Tony menambah, pihaknya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pihak Polis Diraja Malaysia kerana telah memberikan kerjasama untuk menjalankan himpunan secara lancar.

Menurutnya, pihak polis akan membantu mengawal trafik dan telah mencadangkan supaya para hadirin menggunakan tempat letak kereta yang sedia ada.

“Untuk mengurangkan kesesakan jalanraya lagi, kami menggalakkan para hadirin menggunakan sistem LRT Taman Jaya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment