Tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliah yang diharamkan syarak.
Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini.
Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar.
Lantas, akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudis perkauman.
Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad SAW ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiyyah yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan.
Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilannya Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.
Tiada
siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk
dia menjadi Arab, Melayu, Cina atau India. Ia adalah ketentuan Allah,
bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.
Maka hakikat ini
mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang
atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau
kesalahannya.
Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan
perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak
ditanggung oleh anak cucu.
Buta warna bangsa
Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.
Allah
menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “Dan seseorang yang
boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Dan
tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan
seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah
al-Isra, ayat 15)
Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan,
hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih
keturunannya.
Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.
Sabda
Nabi SAW: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama
(Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (bukan Arab), atau ‘ajam ke
atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau
yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.”
(Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh Al-Albani)
Jika
hal ini tidak diteliti, perkauman atau rasisme akan berlaku. Akan ada
pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia
tidak bersalah.
Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di
Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal “I
have a dream” menyebut:
“I have a dream that my four little
children one day live in a nation where they will not be judged by the
colour of their skin but by the content of their character.”
Kesejagatan Islam
Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.
Firman
Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai
bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di
antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam
pengetahuan-Nya. (Surah al-Hujurat: 13)
Lihat dalam ayat ini,
Allah memanggil “wahai manusia”, panggilan yang sangat adil merangkumi
setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.
Kata
Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai
bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk
berkenalan dan bermuafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat,
perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan
bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian.
“Sebaliknya, untuk
bantu membantu dalam menunaikan tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi
warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam
timbangan Allah.
“Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang
menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu – sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di
antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Kaherah: Dar al-Syuruq)
Maka,
haram bagi seorang Muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak
yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya.
Wajib kita mempamerkan keindahan kesejagatan Islam kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.
No comments:
Post a Comment