
SHAH ALAM, 5 MEI: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan berperanan membantu pembangunan masyarakat luar bandar di negeri ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pelantikan Saifuddin sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar dan perincian mengenai portfolio tersebut bermula minggu depan.
Walaupun tarikh mengenainya belum ditetapkan, namun katanya perbincangan turut melibatkan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) Selangor.
“(Pelantikan ini) bukan lagi ura-ura. Saya akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan beliau bersama UPEN.
“Ini (bagi) menerangkan bagaimana peranan kebajikan yang boleh dilakukan beliau dalam usaha mempertingkatkan penglibatan kerajaan negeri dalam pembangunan di desa ataupun luar bandar,” katanya.
Khalid Ibrahim menjelaskan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Selangor lebih empat jam di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri disini, hari ini.
Menjawab pertanyaan media berhubung pelantikan wakil DAP dan PAS untuk jawatan sama, beliau menyatakan perkara itu turut dibincangkan.
“Penglibatan keseluruhan termasuk wakil dari Pas, DAP dan KEADILAN dalam usaha pembangunan masyarakat desa juga akan dibincangkan.
“Saya tidak mahu beri komen sebelum perbincangan itu berlangsung,” katanya
No comments:
Post a Comment