Wednesday, June 5, 2013

Takziah buat keluarga pendaki Gunung Everest



Seorang pendaki Malaysia yang menyertai misi ke Kem Induk Everest dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat penyakit akut ketinggian (Acute Mountain Sickness)

Jurucakap kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal mengesahkan mangsa, Mohammad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, yang juga kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang mengikuti ekspedisi anjuran PPj manakala seorang lagi rakannya sedang dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, mangsa kini berada di Labuche pada ketinggian 4,100 meter dari aras laut dan operasi untuk membawa turun mangsa tidak dapat dilakukan kerana cuaca buruk.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, pendaki Gunung Everest yang telah menghembuskan nafas terakhir ketika cuba mendaki gunung tersebut bersama pasukannya.

Seorang lagi ahli pasukan tersebut dikatakan sedang kritikal dan kedua-duanya mengalami penyakit akut ketinggian (acute mountain sickness) dalam usaha mereka menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

“Kemungkinan faktor cuaca menjadi halangan terbesar mereka mendaki Gunung Everest serta menjadi punca kematian dan penyakit mereka,” ujar Timbalan Ketuanya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata DPPM mengharapkan agar kerajaan Malaysia dapat berusaha membawa pulang jenazah Mohamad Shahrulnizam serta seorang lagi pendaki yang kritikal dengan segera dan selamat serta mampu menyelamatkan nyawanya.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu, tidak ada lagi harapan dan pergantungan melainkan kepada Allah SWT di samping ikhtiar yang termampu bagi membawa balik kedua-duanya.

Selain mereka, ujarnya DPPM juga berharap kesemua anggota pasukan juga akan dihantar pulang sesegera mungkin agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“DPPM menasihatkan pasukan pendaki Malaysia agar menjaga keselamatan dan kesihatan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Menurutnya kagi, meskipun mereka cuba mengharumkan nama negara dengan memanjat ‘bumbung dunia’ itu, namun aspek keselamatan dan kesihatan perlu diambil kira.

“Di atas segala-galanya, kesihatan dan keselamatan perlu menjadi keutamaan. Di belakang mereka, sanak saudara tercinta serta rakyat Malaysia menanti dengan penuh sabar agar mereka semuanya sihat,” katanya.

Justeru, ujar beliau rakyat Malaysia sentiasa berdoa semoga mereka sentiasa selamat.

“Buat kesemua anggota pasukan, misi anda telah berjaya kerana mampu sampai ke tahap itu serta mengharumkan nama negara kerana berjaya melahirkan pendaki-pendaki yang cekal mendaki puncak dunia,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment